Pemenang rekod kebangsaan 400 meter (m) Umar Osman
Pemenang rekod kebangsaan 400 meter (m) Umar Osman
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemenang rekod kebangsaan 400 meter (m) Umar Osman terpaksa menangguh niatnya untuk melanjutkan pelajaran dan menjalani latihan di Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS).

Hal ini kerana, Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) terlewat dua hari menguruskan permohonannya untuk melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan.

Berikutan itu Umar yang juga pemenang pingat emas Sukan Sea Kemboja dalam acara 400m itu hanya akan terbang ke AS pada bulan Ogos ini.

"Saya baru dapat tahu daripada jurulatih Azeem (Fahmi) Ken Harnden bahawa saya terpaksa datang ke AS bulan Ogos depan sebab untuk bulan Januari ini tak sempat kerana NCAA lambat menghantar permohonan saya.

"Kalau di AS bila kita lambat dua hari tak akan dibenarkan masuk dan terpaksa tunggu bulan Ogos untuk pengambilan kedua," katanya.

Namun bagi Umar dia menerima keputusan itu dengan hati terbuka kerana menganggap mungkin ada hikmah di sebaliknya.

"Pada mulanya memang ada rasa sedikit kecewa sebab saya sasarkan nak pergi Januari ini tapi tak ada rezeki. Mungkin ada hikmah saya pergi bulan Ogos.

"Kalau boleh Ogos saya boleh pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan dapat membuktikan kepada Auburn saya memang layak ke sana," katanya yang akan mengambil jurusan reka bentuk industri di Universiti Auburn, universiti yang sama dengan pelari pecut negara Azeem.

Namun kata Umar tiada apa yang perlu dibimbangkan berikutan namanya memang sudah berada dalam senarai pelajar di universiti berkenaan.

Mengulas mengenai perancangannya sebelum Ogos, Umar berkata, dia akan mengadakan perbincangan bersama jurulatih sebelum menentukan hala tuju dan berharap dapat mengekalkan prestasi dengan catatan masa lebih baik.

Atlet berusia 20 tahun itu antara wakil negara paling menyerlah tahun ini dengan namanya mula meniti di bibir peminat olahraga apabila meraih emas dan memecahkan rekod kebangsaan di Sukan Sea Kemboja Mei lalu dengan catatan 46.34 saat (s).

Dia terus cemerlang di Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China apabila memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali (46.33s dan 46.09s) sekali gus membuktikan dia mampu mengharumkan nama negara dalam sukan olahraga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 4:33 PM