PENOLONG Setiausaha MAS, Nurul Huda Abdullah. FOTO NSTP
PENOLONG Setiausaha MAS, Nurul Huda Abdullah. FOTO NSTP
Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) akan melihat terlebih dahulu kemampuan kewangan sebelum mengambil jurulatih dari luar negara.

Penolong Setiausaha MAS, Nurul Huda Abdullah berkata, pihaknya ada menerima banyak permohonan dari jurulatih luar negara dan MAS sememangnya dalam perancangan untuk penambahan jurulatih baharu kerana ia amat penting bagi menyediakan perancangan serta latihan buat atlet Malaysia.

Jelasnya, itu adalah salah satu aspek penting yang harus diberikan perhatian serius demi memastikan persediaan yang rapi dan menyeluruh bagi kejayaan pasukan di kejohanan akan datang.

"Kami sudah menghantar beberapa cadangan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menambah pelatih dan pengarah teknikal yang berkualiti dan bercadang untuk mempunyai tiga jurulatih keseluruhan seperti pengarah teknikal, jurulatih utama, dan juga jurulatih lain.

"Namun begitu perlu melihat kewangan dan bajet yang kami ada sebelum tindakan selanjutnya.

"Kami sangat bertuah kerana menerima banyak permohonan dari luar negara antaranya adalah negara dari Amerika Syarikat, Australia, dan Eropah," katanya.

Tambahnya, dirinya turut berharap akan ada lebih ramai atlet dari Podium akan layak ke Sukan Olimpik akan datang.

Selain itu, MSN sudah bersetuju dengan cadangan MS untuk menambah bilangan atlet ke dalam Program Podium.

"MSN sudah meluluskan penambahan atlet kepada 10 orang daripada awalnya empat atlet sahaja.

"Antara nama baharu yang bakal ke Program Podium adalah Andrew Goh, Bryan Leong Xin Ren, Terence Ng, Jayden Tan, Low Zheng Yong dan Ong Yong Qi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 1:24 PM