Antara atlet negara yang menjalani ujian calitan di MSN. FOTO Ihsan FB MSN
Antara atlet negara yang menjalani ujian calitan di MSN. FOTO Ihsan FB MSN
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Berikutan kes Covid-19 yang belum menampakkan penurunan, Majlis Sukan Negara (MSN) meminta semua atlet di bawah naungannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata, ia perlu dilakukan demi kepentingan bersama.

Menurutnya, biarpun MSN tidak lagi menggunakan pendekatan latihan berkonsepkan kuarantin, atlet diminta untuk menjaga pergerakan masing-masing.

"MSN masih lagi mengawal pergerakan setiap atlet yang keluar masuk tapi setiap atlet juga dinasihatkan untuk mengikuti arahan. Kes tengah naik ini atlet kena jaga diri.

"Elak berada di kawasan khalayak ramai, patuhi SOP dan kawal pergerakan masing-masing," katanya.

Terdahulu 432 atlet podium dan pelapis kebangsaan serta jurulatih negara menjalani ujian calitan di MSN selepas kembali dari cuti hujung tahun.

Atlet di bawah program MSN diberikan cuti sejak 24 Disember lalu akan kembali menjalani latihan selepas keputusan dikeluarkan.

Pendaftaran yang bermula seawal jam 9 pagi itu membabitkan 20 jenis sukan antaranya renang, terjun, angkat berat, olahraga, memanah, boling padang, ragbi dan skuasy.

Ujian calitan ini turut diadakan di Kompleks MSN Taman Keramat membabitkan 26 orang atlet dan tujuh orang jurulatih.

Sementara itu, 74 orang atlet para dan jurulatih yang mendaftar hari ini turut menjalani ujian calitan di Pusat Kecemerlangan Sukan Kampung Pandan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 6:27 PM