BANGUNAN Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.
BANGUNAN Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) membuat penjelasan mengenai naratif laporan media tempatan bahawa wang sebanyak RM1.47 juta yang diperuntukkan kononnya 'lesap', adalah tidak benar.

Menurut MSN, tiada peruntukan yang 'lesap' dan peruntukan RM1.47 juta itu adalah pembayaran yang dilakukan mereka dan Institut Sukan Negara (ISN) kepada semua pihak berkaitan seperti atlet, jurulatih, penyedia perkhidmatan sains sukan, perolehan alatan dan alat ganti, selain penyaluran geran kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK).

Laporan Ketua Audit Negara 2022 (LKAN) dalam Perenggan 5.2.1.d dalam Maklumat Penemuan melaporkan terdapat Perbelanjaan Tiada Dalam Skop yang diluluskan oleh MSN berjumlah RM1.26 juta.

"RM0.55 juta (a) dibayar kepada atlet dan jurulatih Program Pelapis Kebangsaan. RM0.30 juta (b) perolehan pembelian alatan dan alatan ganti basikal atlet Program Pelapis Kebangsaan.

"RM0.07 juta (c) dibayar untuk perkhidmatan sains sukan untuk atlet Program Pelapis Kebangsaan dan atlet Program Akademi Mokhtar Dahari.

"RM0.34 juta (d) penyaluran geran kepada PSK (Persatuan Sukan Kebangsaan) bagi tahun 2019 hingga 2021," kata MSN.

Turut dinyatakan dalam LKAN ialah Perbelanjaan Tiada Dalam Skop yang Diluluskan oleh ISN kepada PSK bagi tahun 2016 hingga 2018 sebanyak RM0.21 juta.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM1.47 juta di bawah Program Podium.

"MSN dan ISN memberi justifikasi perbelanjaan yang dilakukan menerusi beberapa sesi libat urus dengan Jabatan Audit Negara.

"Bagi perkara 3(a) dan 3(b), MSN menjelaskan peruntukan Program Podium digunakan bagi membiayai aktiviti Program Pelapis Kebangsaan (PK) kerana kumpulan atlet ini seringkali terlibat dalam membantu persediaan Atlet Podium semasa sesi latihan / pertandingan dan kejohanan serta pembelian peralatan dan alat-alat ganti.

"Bagi perkara 3(c), pembayaran perkhidmatan sains sukan dan perubatan, permohonan pembayaran dikemukakan oleh ISN bersekali bagi semua atlet di bawah program MSN. Oleh yang demikian, MSN berdepan kesukaran untuk mengasingkannya berdasarkan peruntukan masing-masing.

"Bagi perkara 3(d), skop Program Podium memberikan tumpuan khusus diberikan kepada program penyediaan atlet dalam menghadapi temasya sukan utama (Sukan Sea/Para Asean, Sukan Komanwel, Sukan Asia/Para Asia, Sukan Olimpik/Paralimpik).

"Lazimnya, MSN menyalurkan geran kepada PSK untuk tujuan 'pengurusan ke arah temasya sukan utama', bagi sukan-sukan yang tidak dilaksanakan oleh MSN," katanya.

Tambah MSN, antara PSK yang menerima penyaluran geran ini adalah muay thai, lawan pedang, kickboxing, snuker dan billiard.

"Beberapa sukan itu berjaya meraih pingat di temasya sukan utama seperti di Sukan Sea dan Sukan Asia.

"MSN berharap huraian dan penjelasan ini akan dapat memperbetulkan persepsi negatif yang timbul ekoran daripada laporan berita dan naratif ulasan yang tidak tepat di pelbagai platform media," kata MSN.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 10:04 PM