MEGAT D Shahriman mahu keadilan kerana ia membabitkan salah laku seksual dan unsur jenayah. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
MEGAT D Shahriman mahu keadilan kerana ia membabitkan salah laku seksual dan unsur jenayah. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kes membabitkan seorang jurulatih renang yang dikatakan terbabit dalam gangguan seksual terhadap atlet di bawah jagaan beliau kini di berada dalam siasatan penuh pihak polis dan hasil siasatan akan diumumkan kemudian.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis bagi memastikan keadilan dalam perkara itu dapat ditegakkan.

"Kami sudah membawa kes ini kepada polis untuk mereka siasat kerana mereka badan bebas. Kita mahu keadilan kerana ia membabitkan salah laku seksual dan unsur jenayah," katanya.

Terdahulu, Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana jurulatih sekiranya didapati melakukan salah laku dalam program latihan MSN dan penamatan kontrak akan dilakukan serta merta. Melalui satu kenyataan rasmi dari MSN hari ini.

Jawatankuasa Salah Laku Dalam Sukan sedang menjalankan penyiasatan atas dakwaan salah laku terhadap seorang jurulatih renang apabila dikatakan terbabit dalam gangguan seksual terhadap atlet di bawah jagaan beliau sebagaimana dilaporkan sebuah media sebelum ini.

"MSN tidak pernah berkompromi dan melindungi mana-mana atlet mahupun pegawai yang terbabit salah laku sedemikian.

"Dakwaan salah laku itu diterima MSN pada minggu lalu dan Jawatankuasa telah memulakan siasatan dengan segera, termasuk menemubual pihak-pihak berkaitan.

"Kerjasama penuh juga diberikan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah membuka kertas siasatan, termasuk mencari cara tindakan yang mesra dan melindungi privasi atlet terbabit," kata MSN.

Selain itu, MSN memohon kerjasama pihak media dan masyarakat umum supaya tidak mencetuskan spekulasi mahupun menyebarkan maklumat tidak tepat bagi menjaga kebajikan atlet selain mengelak daripada persepsi negatif yang mampu menjejaskan proses siasatan.

"Perlu ditegaskan bahawa MSN tidak pernah menerima laporan ataupun aduan daripada mana-mana atlet para mengenai salah laku seksual oleh jurulatih sebelum aduan terbaharu ini dan dakwaan bahawa MSN cuba menutup atau tidak mengendahkan laporan yang pernah dibuat adalah tidak berasas sama sekali.

"MSN menjulang dan menguatkuasakan semua peraturan dalam Kod Sukan Selamat dan sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran selamat kepada semua atlet yang mengikuti program latihan kendalian MSN," katanya.

MSN akan mengambil langkah komprehensif untuk menjaga keselamatan dan kebajikan atlet-atlet para di bawah Program MSN turut dititik beratkan, termasuk mewajibkan pegawai pengiring untuk atlet-atlet yang bertanding di pelbagai kejohanan di luar negara bermula tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 4:09 PM