SIVASANGARI mempamerkan pingat emas yang dimenanginya. FOTO ASYRAF HAMZAH
SIVASANGARI mempamerkan pingat emas yang dimenanginya. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syafiq Aznan


Hangzhou: Kisah mengenai kebangkitan pemain skuasy negara, S Sivasangari mungkin seperti drama namun ia seharusnya mencetuskan inspirasi bukan sahaja kepada atlet tetapi juga buat semua lapisan masyarakat.

Pemain berusia 24 tahun itu tidak berpeluang menjadi pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Komanwel 2022 dan terlepas aksi pada temasya di Birmingham selepas mengalami kemalangan.

Namun, temasya Sukan Asia 2022 kembali menyerlahkan Sivasangari yang bangkit bagaikan 'Phoenix' selepas berdepan detik buruk dalam hidupnya, tahun lalu.

Selaku pembawa Jalur Gemilang di Hangzhou, pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu muncul sebagai pemenang pingat emas berganda menerusi acara berpasukan wanita dan perseorangan wanita.

Sivasangari mengakui pengalaman sukar yang dilaluinya sebelum ini membantu membentuk dirinya yang lebih 'keras' dan menjadi antara pendorong dia 'meletup' pada Sukan Asia kali ini.

"Saya sentiasa ingatkan diri sendiri bahawa jika saya dapat melalui cabaran tahun lalu (kemalangan) dan bangkit dengan lebih kuat, saya boleh lakukan dan capai apa sahaja yang saya mahukan.

"Ini adalah satu perjalanan yang gila kerana saya tidak menyangka dapat memenangi dua pingat emas selepas apa yang saya hadapi sebelum ini.

"Ada sebab mengapa sesuatu perkara itu terjadi dan ini adalah peluang kedua buat saya. Jadi saya gembira dapat kembali," katanya.

Sebagai rekod, pencapaian pada temasya kali ini membolehkan pemain yang menghuni ranking ke-37 dunia itu 'menaik taraf' pingatnya selepas meraih pingat perak dalam perseorangan wanita dan pingat gangsa berpasukan wanita pada edisi 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 11:21 AM