AIFA Azman.
AIFA Azman.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dipengerusikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selaku Presiden MOM memilih atlet skuasy wanita negara, Aifa Azman sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara di Sukan Olimpik Birmingham menggantikan rakan sepasukan, S Sivasangari.

Aifa diberi tanggungjawab berkenaan selepas Sivasangari terpaksa menarik diri daripada menyertai temasya sukan berpresij itu berikutan terbabit kemalangan jalan raya, Ahad lalu.

Sebelum ini, Sivasangari bersama atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang bersama untuk temasya sukan itu yang bakal berlangsung mulai 28 Julai hingga 8 Ogos.

"Keputusan penggantian pembawa Jalur Gemilang diambil berikutan penarikan diri oleh Sivasangari yang mengalami kecederaan dalam kemalangan di Lebuh Raya Maju (MEX) pada Ahad lalu.

"Sivasangari, berusia 23 tahun yang berpangkalan di Amerika Syarikat dijangka memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum dapat kembali semula ke gelanggang.

"Sementara itu, Aifa selaku Juara Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia 2021, turut akan beraksi dalam acara perseorangan wanita dan beregu wanita berganding dengan Rachel Arnold dalam temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada bulan depan," kata MOM dalam satu kenyataan.

Aifa yang berusia 20 tahun, membuat penampilan pertamanya di dalam temasya Sukan Komanwel pada 2018 yang menyaksikannya menyertai acara perseorangan wanita dan beregu campuran.

Dia juga pemenang pingat emas dalam acara berpasukan untuk kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Sea 2017 dan pemenang pingat gangsa di temasya Sukan Asia 2018.

Aifa juga adalah pemenang termuda Jelajah Persatuan Skuasy Profesional pada 2018 ketika berusia 16 tahun.

Kini, dia menduduki tangga ke-28 dalam carta kedudukan dunia.

"Adalah menjadi harapan MOM agar pemilihan Aifa sebagai pembawa Jalur Gemilang akan menyuntik semangat baru untuk atlet lain dalam kontinjen Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 1:43 PM