PEMAIN dan tetamu VIP ketika majlis pengumuman penajaan pakaian pemain skuasy negara.
PEMAIN dan tetamu VIP ketika majlis pengumuman penajaan pakaian pemain skuasy negara.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) sudah mempunyai gambaran barisan pemain negara yang disandarkan untuk memenuhi sasaran dua pingat emas pada Sukan Asia di Hangzhou, China, September depan.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam berkata, berdasarkan prestasi semasa, pingat emas itu dijangka hadir menerusi acara perseorangan lelaki dan beregu campuran.

"Untuk Sukan Asia, peluang terbuka buat mana-mana pemain, gandingan dan pasukan tapi kita berharap dapat merealisasikan sasaran dua pingat emas daripada mana-mana acara," katanya.

Berhubung pemain yang akan menggalas cabaran negara di Hangzhou, China, beliau mengesahkan empat pemain lelaki dan empat wanita dipilih akan beraksi dalam acara berpasukan (lelaki, wanita) selain satu lagi acara iaitu perseorangan atau beregu campuran.

"Untuk peseorangan lelaki, Ng Eain Yow dan perseorangan wanita S Sivasangari dan kita akan memilih pemain nombor empat sebagai perseorangan kedua di temasya itu.

"Situasi sekarang, Syafiq (Mohammad Syafiq Kamal) akan bermain di beregu campuran, begitu juga dengan Ivan (Yuen) dan Rachel, jadi tinggal Addeen (Mohd Addeen Idrakie) sebagai perseorangan keempat akan bermain untuk perseorangan lelaki.

"Perseorangan wanita pula, kita sudah ada Sivasangari, jadi perseorangan kedua kita akan pilih antara empat pemain yang prestasinya agak setara antara Aina (Noor Ainaa Amani Ampandi), Aira (Azman), Yiwen (Chan Yiwen) dan Yee Xin Ying," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pengumuman Penajaan Pakaian untuk pemain skuasy bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Hadir sama pada majlis itu, wakil Maxbolt, Nicholas Sam Jr; Pengurus Negeri Asics, Born Tib Soom Nik; Naib Presiden SRAM, Sharon Wee dan Setiausaha Kehormat SRAM, Nafzahizam Adnan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 7:18 PM