PEMAIN skuasy negara (dari kiri), Aira, Eain Yow, Aifa dan Rachel mempamerkan pingat emas Sukan Asia. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
PEMAIN skuasy negara (dari kiri), Aira, Eain Yow, Aifa dan Rachel mempamerkan pingat emas Sukan Asia. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Syafiq Aznan


Hangzhou: Skuad skuasy negara dijangka mampu terus menjadi 'deposit tetap' pingat emas buat kontinjen negara sekurang-kurangnya untuk dua lagi edisi Sukan Asia selepas ini.

Ini kerana Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam mengakui sukan terbabit berada pada landasan yang tepat untuk mencipta lebih banyak kejayaan sekali gus membolehkan sukan itu memiliki masa depan yang cerah.

"Masa depan kita nampak cerah kerana atlet kita masih muda seperti S Sivasangari, Aifa Azman dan Ng Eain Yow. Mereka boleh beraksi sekurang-kurangnya untuk satu atau dua edisi lagi di Sukan Asia.

"Kita pun ada Aira Azman yang baru berusia 19 tahun dan sudah berada dalam pasukan. Kita juga ada pemain muda dalam pasukan lelaki juga.

"Jadi kita perlu cuba untuk mengulangi pencapaian kali ini pada Sukan Asia yang akan datang. Kita tidak akan berehat dan terus bekerja keras untuk menghasilkan keputusan yang diperlukan," katanya.

Sebagai rekod, kem skuasy muncul sebagai wakil negara paling menyerlah apabila muncul juara keseluruhan selepas menuai tiga pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

Tiga emas masing-masing dituai menerusi acara berpasukan wanita, perseorangan wanita (Sivasangari) dan perseorangan lelaki (Eain Yow).

Pingat perak disumbangkan gandingan Syafiq Kamal-Aifa Azman dalam acara beregu campuran sementara pingat gangsa dalam acara berpasukan lelaki - Malaysia menang pingat dalam semua lima acara disertai.

Dalam masa sama, Maniam turut mengalu-alukan sebarang bantuan untuk SRAM dalam misi terus memperkasa atlet skuasy negara susulan kejayaan membawa pulang tiga pingat emas dari Hangzhou.

"Kami tiada apa-apa permintaan. Dengan tiga pingat emas ini, kita akan teruskan usaha keras untuk memberikan keputusan yang positif buat Malaysia dan itulah yang kami suka untuk lakukan.

"Jika ada bantuan yang mahu dihulurkan, kami mengalu-alukan tetapi ini bukanlah tuntutan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 1:09 PM