ARIF Affifudin masih berusia 24 tahun. FOTO ASYRAF HAMZAH
ARIF Affifudin masih berusia 24 tahun. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syafiq Aznan


Hangzhou: Kontinjen negara dijangka tidak akan ketandusan pingat ataupun pulang tangan kosong pada temasya 2026 yang bakal berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun.

Melihat kepada taburan usia pemenang pingat pada Sukan Asia 2022, ada dalam kalangan mereka yang berusia 23, 24 atau 25 tahun sekali gus berpotensi untuk beraksi sekurang-kurangnya bagi satu atau dua edisi lagi.

Mengambil kira mereka terus memperagakan peningkatan prestasi ataupun mengelak daripada kecederaan serius, tidak mustahil mereka dapat mempertahankan pingat emas dimenangi atau lebih baik, mengubah warna pingat mereka.

Bagi pemenang pingat emas, lima daripadanya berusia 25 tahun ataupun lebih muda iaitu atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif (25), skuasy iaitu S Sivasangari (24) dan Ng Eain Yow (25) dan atlet karate, Muhammad Arif Affifuddin Abd Malik (24).

Malah pasukan skuasy wanita yang memenangi pingat emas acara berpasukan wanita turut dibarisi dua lagi pemain muda selain Sivasangari iaitu Aifa Azman (21) dan Aira Azman (19).

Bagi pemenang pingat perak, ada deretan atlet yang dijangka mampu terus mewakili negara antaranya atlet wushu, Tan Cheong Min (25), atlet terjun , Nur Dhabitah Sabri (24) serta tiga atlet karate yang masing-masing masih berusia 19 tahun iaitu Lovelly Anne Robberth, Nathalia Sherawinnie serta Nancy Nelly.

Beberapa atlet muda juga turut memperaga aksi memberangsangkan apabila membawa pulang pingat gangsa pada temasya kali ini.

Antara yang mencuri tumpuan ialah atlet olahraga, Muhammad Azeem Fahmi (19), atlet pelayaran, Muhammad Asnawi Iqbal Adam (17), atlet gimnastik, Muhammad Shahrul Aimy Kamaru Hisham (22) dan atlet memanah, Mohamad Syafiq Md Ariffin.

Selain itu, dua atlet berusia 19 tahun dari terjun iaitu Enrique Maccartney Anak Harold dan Bertrand Rhodict Anak Lise masing-masing baru berusia 18 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 2:08 PM