REAKSI kegembiraan Sivasangari selepas menewaskan Sin Yuk sebentar tadi. FOTO Asyraf Hamzah
REAKSI kegembiraan Sivasangari selepas menewaskan Sin Yuk sebentar tadi. FOTO Asyraf Hamzah
Syafiq Aznan


Hangzhou: Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari meraih pingat emas acara perseorangan wanita Sukan Asia 2022 selepas menewaskan pemain Hong Kong, Chan Sin Yuk 3-2 pada final penuh dramatik di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou, sebentar tadi.

Selepas menafikan Hong Kong daripada memenangi acara berpasukan wanita, Malaysia sekali lagi mengecewakan mereka, kali ini menerusi acara perseorangan wanita menerusi Sivasangari.

Emas keempat untuk negara itu sudah pasti mengubati kem skuasy selepas Syafiq Kamal-Aifa Azman kecundang di tangan gandingan India, Sandhu Harinder Pal Singh-Karthik Dipika Pallikal di final beregu campuran.

Ini menyaksikan Sivasangari menjadi pemenang pingat emas berganda selepas turut menggondol emas dalam acara berpasukan wanita sebelum ini.

Sivasangari bagaimanapun bermula agak sukar apabila tewas set pertama 8-11, kali pertama Sivasangari melepaskan setnya sepanjang mengharungi kempen individu di Sukan Asia 2022 dalam laluannya ke final.

Dia bangkit dengan kemenangan 15-13 pada set kedua namun Sin Yuk kembali mendahului saingan apabila meraih mata kedua hasil kemenangan 12-10 pada set ketiga.

Sivasangari mengheret perlawanan ke set penentuan apabila memenangi set keempat 11-9 dan Sivasangari menoktahkan kemenangan pada set kelima yang penuh debaran dengan 12-10.

Terdahulu, Sivasangari mara ke final acara perseorangan wanita Sukan Asia buat kali kedua berturut-turut selepas mengetepikan Pemain Paling Bernilai (MVP) Kejuaraan Berpasukan Dunia Wanita 2022, Satomi Watanabe 3-0, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 5:16 PM