ATLET olahraga negara (dari kiri) Zaidatul Husniah, Azeem dan Shereen menunjukkan pingat gangsa dimenangi di Sukan Asia Hangzhou, sebaik tiba di KLIA, semalam. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
ATLET olahraga negara (dari kiri) Zaidatul Husniah, Azeem dan Shereen menunjukkan pingat gangsa dimenangi di Sukan Asia Hangzhou, sebaik tiba di KLIA, semalam. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim mengakui bantuan kepakaran Institut Sukan Negara (ISN) banyak membantu kejayaan barisan pelari pecut negara di Sukan Asia Hangzhou kali ini.

Ia jelas dapat dilihat menerusi pingat gangsa disumbangkan kuartet 4x100 meter (m) wanita negara dengan gabungan mantap pelari, selain gangsa dari Muhammad Azeem Fahmi dalam acara 100m dan Shereen Samson Vallabouy (400m).

Kuartet dibarisi Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisya Mohd Rizal dan Shereen itu mendapat tempat keempat, namun kuartet Bahrain yang meraih tempat ketiga dibatalkan penyertaannya.

Sementara bagi kategori lelaki, rangkaian pelari dibarisi Khairul Hafiz Jantan sebagai pelari pertama, Muhammad Arsyad Md Saat, Jonathan Nyepa dan Azeem merekodkan 39.19 saat (s) untuk menamatkan saingan di tangga kelima secara keseluruhan, namun dibatalkan kerana melanggar peraturan.

Kuartet negara didapati melakukan kesalahan TR17.3.1 iaitu pencerobohan lorong, sekali gus menyaksikan kedudukan kelima menjadi milik kuartet Indonesia.

Biarpun kuartet 4x100m lelaki dibatalkan, namun hanya 0.10s memisahkan mereka dengan rekod baru kebangsaan.

Biarpun hasrat Poad untuk mengumpulkan semua pelari pecut di bawah satu bumbung mungkin sukar, kepakaran ISN sedikit sebanyak membantu pelari negara untuk mencapai keserasian lebih cepat.

Poad berkata, kehadiran Shereen banyak membantu kemenangan gangsa itu kerana dalam masa yang singkat dia dapat menyesuaikan diri dengan teknik baton.

"Terima kasih kepada semua pihak KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia), MSN (Majlis Sukan Negara (MSN) dan ISN, juga kepada Jad Adrian Washif (Kesatuan Statistik Balapan dan Padang ISN) yang banyak membantu.

"Daripada analisis dibuat masa penukaran baton ada sedikit masalah antara pelari kedua dan ketiga untuk wanita serta pelari pertama dan kedua untuk lelaki.

"Namun itu bukan satu masalah dan ia boleh diperbaiki dan saya harap barisan pelari negara ini dapat mengekalkan momentum mereka sehingga ke Sukan Sea Thailand seterusnya Sukan Asia di Aichi-Nagoya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 2:27 PM