MOHD Poad Md Kassim yakin kuartet lelaki 4x100m gegar di Sukan Asia. FOTO Luqman Hakim Zubir
MOHD Poad Md Kassim yakin kuartet lelaki 4x100m gegar di Sukan Asia. FOTO Luqman Hakim Zubir
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kuartet 4x100 meter (m) lelaki negara akan tampil lebih bertenaga di temasya Sukan Asia dari 23 September hingga 8 Oktober ini di Hangzhou, China.

Itu janji jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yang yakin bahawa barisan pelari pecut negara itu mampu untuk mencatatkan masa bawah 39 saat.

Kehadiran dua pelari yang membantu kuartet negara meraih pingat perak ketika temasya Sukan Sea Hanoi, iaitu Zulfiqar Ismail dan Arsyad Md Saat dijangka akan mengukuhkan kuartet negara.

Poad berkata, di Sukan Asia nanti, kuartet akan diperkuatkan lagi oleh pelari terbaik negara Muhammad Azeem Fahmi serta bekas pelari pecut Asia Tenggara 2017, Khairul Hafiz Jantan yang akan menggantikan Haiqal Hanafi bersama-sama Zulfiqar dan Arsyad.

"Memang ada perubahan dalam kuartet 4x100m di Kejohanan Asia, Bangkok yang lalu dan di Sukan Asia nanti.

"Biarpun di Kejohanan Asia di Bangkok yang lalu kuartet yang dibarisi Azeem, Khairul Hafiz, Jonanthan Nyepa dan Mohamad Thaqif Hisham mencatatkan catatan terbaik musim ini tapi dengan kembalinya Zulfeqar dan Arsyad dalam kuartet, saya yakin catatan masa mereka akan lebih baik.

"Kuartet di Sukan Asia bukan muka baru. Mereka ini yang memberikan pingat perak di Sukan Sea Hanoi. Cuma tempat Haiqal akan digantikan Khairul Hafiz sebab Haiqal cedera.

"Catatan bawah 39s itu bukan mustahil dan mereka perlu melakukannya di Sukan Asia nanti," katanya.

Kuartet Sukan Sea Hanoi adalah barisan pemenang rekod kebangsaan selepas melakukan catatan masa 39.09 saat, sekali gus memperbaharui rekod 39.27s yang dilakukan dalam edisi di Kuala Lumpur pada 2017.

Terdahulu di Kejohanan Asia yang lalu kuartet 4x100m meraih tempat keenam dengan catatan 39.17s.

Kuartet tuan rumah, Thailand, mencipta kejutan apabila bergelar juara dengan catatan masa 38.55s, sekali gus meninggalkan juara bertahan, China (38.87s) sambil Korea Selatan pula memenangi pingat gangsa dengan 38.99s.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 2:46 PM