PENYERTAAN kuartet 4x100m lelaki negara (dari kiri) Khairul Hafiz, Muhammad Arsyad, Jonathan Nyepa dan Azeem dibatalkan di final. FOTO ASYRAF HAMZAH
PENYERTAAN kuartet 4x100m lelaki negara (dari kiri) Khairul Hafiz, Muhammad Arsyad, Jonathan Nyepa dan Azeem dibatalkan di final. FOTO ASYRAF HAMZAH
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Tiada apa mampu diluahkan selain rasa kecewa apabila mengetahui penyertaan kuartet 4x100 meter (m) lelaki negara di temasya Sukan Asia Hangzhou dibatalkan.

Namun, mereka memanjatkan rasa syukur apabila kuartet 4x100m wanita dianugerahkan pingat gangsa.

Mewakili rakan seperjuangan lain, pelari negara Muhammad Azeem Fahmi meluahkan kekecewaan itu selepas mengetahui perkara terbabit.

"Saya tak tahu nak cakap apa sebab sedih dan mungkin betul, bukan rezeki kami.

"Tapi Allah gantikan rezeki itu kepada pasukan wanita dengan kedudukan podium. Alhamdulillah dan tahniah buat mereka," katanya.

Kuartet negara dibarisi Khairul Hafiz Jantan sebagai pelari pertama diikuti Muhammad Arsyad Md Saat, Jonathan Nyepa dan Azeem merekodkan 39.19 saat (s) untuk menamatkan saingan di tangga kelima keseluruhan.

Hanya 0.10s memisahkan catatan mereka dengan rekod kebangsaan iaitu 39.09s yang dilakar pada temasya Sukan Sea Hanoi, dua tahun lalu.

Pingat emas acara itu dimenangi China dengan catatan 38.29s sementara kuartet Jepun dengan catatan 38.44s memenangi pingat perak.

Gangsa menjadi milik Korea Selatan dengan catatan 38.74 saat.

Namun, penyertaan kuartet lelaki negara dibatalkan susulan kesalahan pencerobohan lorong yang dilakukan pada final di Stadium Olimpik Hangzhou.

Berdasarkan keputusan rasmi di laman Sukan Asia 2022, kuartet negara didapati melakukan kesalahan TR17.3.1 iaitu melakukan pencerobohan lorong, sekali gus menyaksikan kedudukan kelima menjadi milik kuartet Indonesia.

"Kami pun tak tahu pelari mana yang buat kesilapan, mungkin pelari pertama atau ketiga kerana pelanggaran garis boleh terjadi untuk pelari di bahagian selekoh.

"Peraturan mengatakan kalau terpijak garisan dalam dengan kaki kiri, ia dikira memendekkan larian kerana melalui selekoh dalam dan itu alasan yang dicatatkan dalam keputusan rasmi.

"Memang sedih kerana ini adalah catatan masa ketiga terpantas yang pasukan berganti-ganti catatkan untuk tahun ini," katanya.

Azeem yang sebelum itu meraih pingat gangsa dalam acara pecut 100m berkata, Allah sudah mengaturkan perancangan dan memberikan sesuatu itu pada masa tepat.

Mereka menegaskan akan kembali untuk terus memburu masa lebih pantas selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 1:43 PM