AZEEM (kiri) sudah sedaya upaya beraksi bersama skuad negara semalam. FOTO Kejohanan Olahraga Asia
AZEEM (kiri) sudah sedaya upaya beraksi bersama skuad negara semalam. FOTO Kejohanan Olahraga Asia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Biarpun gagal menghadiahkan pingat buat negara, barisan kuartet 4x100 meter (m) negara berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan kepada mereka di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand, semalam.

Kuartet yang dibarisi Khairul Hafiz Jantan selaku pelari pertama diikuti Jonathan Nyepa, Mohammad Thaqif Hisham dan Muhammad Azeem Fahmi berjaya mencatatkan catatan masa terbaik musim ini mengatasi masa yang direkodkan ketika kuartet negara meraih gangsa di Sukan Sea Kemboja yang lalu.

Barisan pelari negara yang menamatkan larian di kedudukan keenam itu mencatatkan masa 39.17 saat (s) mengatasi masa 39.36s ketika di Sukan Sea.

Bagi jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim biarpun meletakkan susunan baru, masa yang dicatatkan lebih bagus dan beliau yakin masa itu akan lebih pantas di Sukan Asia Hangzhou September nanti.

Ini kerana beberapa masalah dan kekurangan sudah dikenal pasti dan masih ada peluang untuk kuartet negara memperbaikinya terutama apabila kembalinya dua pelari pecut yang pulih daripada kecederaan iaitu Muhammad Arsyad Md Saat dan Muhammad Zulfiqar Ismail bersama skuad negara.

Berdasarkan prestasi terkini itu, Poad yakin kuartet di Sukan Asia nanti mampu untuk catatkan masa di bawah 39s.

"Apa yang saya lihat ada sedikit masalah teknikal dari segi penyerahan baton ketika pelari kedua dan ketiga. Pelari pertama pun ada masalah sikit. Lepas ini kita akan tumpu masalah itu untuk perbaiki.

"Itulah kelebihan yang Thailand miliki apabila saya lihat penyerahan baton mereka sempurna. Ini kerana mereka sudah lama berlatih bersama-sama termasuk pelari pelapis mereka.

"Tapi secara keseluruhan saya berpuas hati biarpun kehadiran Thaqif pelari baru yang gantikan Haiqal (Hanafi) kita tetap mampu catatkan masa lebih baik," katanya.

Pingat emas acara itu dimenangi kuartet Thailand yang dibarisi Natawat Iamudom, Soraot Dapbang, Chayut Khongprasit dan Puripol Boonson yang mencatat masa terpantas 38.55s yang juga rekod baharu kejohanan.

Kuartet China meraih perak dengan catatan 38.87s, manakala Korea Selatan ketiga 38.99s.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 3:33 PM