Atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohamad Latif bakal menerima imbuhan daripada kerajaan Pahang selepas meraih pingat emas pada Sukan Asia, Hangzhou. STR/IHSAN MSP
Atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohamad Latif bakal menerima imbuhan daripada kerajaan Pahang selepas meraih pingat emas pada Sukan Asia, Hangzhou. STR/IHSAN MSP
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Khabar gembira menanti atlet pelayaran kebangsaan, Nur Shazrin Mohamad Latif yang meraih pingat emas temasya Sukan Asia, Hangzhou apabila kerajaan Pahang menyediakan imbuhan hasil kejayaan diraih.

Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Zamri Hassan berkata semalam pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal menyatakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan umumkan jumlah imbuhan yang akan diberikan kepada atlet berkenaan.

Menurutnya, imbuhan berkenaan hasil pingat emas diraih selain kesungguhan yang diberikan atlet kelahiran Kampung Mambang, Pekan dalam meniti kejayaan dalam sukan pelayaran diperingkat kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, lebih menggembirakan kejayaan pada Sukan Asia kali ini menyaksikan dia layak secara merit ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024, penyertaan ketiganya di kejohanan terbesar dunia itu.

"Kerajaan Pahang sentiasa memberi perhatian pada atlet yang terpilih mewakili Tok Gajah diperingkat kebangsaan dan antarabangsa, lebih menarik lagi mereka yang berjaya membawa pulang pingat apa juga warna berpeluang menerima imbuhan.

"Diperingkat kebangsaan Sukan Malaysia (Sukma) dan dipentas antarabangsa seperti Sukan Sea, Sukan Asia dan Sukan Olimpik," katanya dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini atlet berkenaan (Nur Shazrin) telah memenangi pingat gangsa temasya Sukan Asia Palembang-Jakarta 2018dalam acara laser radial, tewas kepada atlet Jepun, Manami Doi dan perak diraih Zhang Dongshuang dari China.

Zamri berkata, Nur Shazrin yang sebelum ini menjalani latihan pusat negara ke Sukan Asia di Langkawi kini layak secara merit bersaing pada Sukan Olimpik 2024, sebelum itu dia bertanding pada Sukan Olimpik Rio 2016 dan Sukan Olimpik Japan 2020.

"Saya berharap kejayaan Nur Shazrin meraih pingat emas pertama negara kelmarin menjadi motivasi terbaik kepada semua atlet negara yang masih meneruskan perjuangan memburu pingat pada Sukan Asia Hangzhou.

"Seramai lapan atlet Pahang membawa cabaran kontijen negara pada Sukan Asia kali ini, mereka bersaing dalam masing-masing seorang dalam acara olahraga, pelayaran, kriket wanita (2 atlet) dan hoki wanita (4)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 2:48 PM