NUR Shazrin meraih pingat emas di temasya Sukan Asia Hangzhou. FOTO IHSAN MSP
NUR Shazrin meraih pingat emas di temasya Sukan Asia Hangzhou. FOTO IHSAN MSP
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Atlet pelayaran kebangsaan, Nur Shazrin Mohamad Latif berharap dapat mengikuti latihan di pantai Marseille yang menjadi gelanggang utama acara pelayaran temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut pemenang pingat emas temasya Sukan Asia, Hangzhou itu, dia perlu didedahkan dengan lokasi sebenar pertandingan yang menghimpunkan atlet pelayaran terbaik seluruh dunia.

Katanya, dia pernah menyertai pertandingan peringkat antarabangsa di Marseille pada 2018, selama seminggu bersaing dan suasana di pantai terbabit berbeza dengan pantai di negara ini terutama tiupan angin.

"Tiupan angin kencang di pantai terbabit menjadi kelebihan setiap kali pertandingan perahu layar diadakan, tempat berkenaan antara yang terbaik diadakan pertandingan di peringkat antarabangsa.

"Saya memerlukan pendedahan ditempat sebenar pertandingan dalam usaha memburu pingat dipertandingkan dipentas Sukan Olimpik yang menjadi kemuncak sukan dunia," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, gelanggang latihan di pantai Langkawi yang menjadi pusat latihan pasukan pelayaran negara angin tidak terlalu kuat berbanding di Marseille yang tiga hingga empat kali ganda lebih kencang.

Nur Shazrin berkata, dia hanya mengharap sesuatu yang difikirkan penting dalam usaha ke arah memburu kejayaan namun keputusan terletak pada persatuan dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Tambahnya lagi, temasya Sukan Olimpik Paris 2024 adalah penampilan kali ketiga selepas Sukan Olimpik Rio 2016 dan Sukan Olimpik Jepun 2020.

Dia yang memenangi pingat gangsa temasya Sukan Asia Palembang-Jakarta 2018 dalam acara laser radial, menambah dia berharap impian mengadakan latihan di Marseille mendapat pertimbangan daripada pihak berkaitan.

Mengenai imbuhan yang bakal diterima selepas meraih temasya Sukan Asia, Hangzhou, Nur Shazrin berkata, dia bersyukur dengan imbuhan yang bakal diterima hasil kejayaan dicapai.

"Sebelum ini saya tidak pernah memikirkan imbuhan yang akan diterima selepas mencatat kejayaan, setiap kali bertanding saya hanya memikirkan kemenangan untuk kepuasaan diri sendiri dan imej negara.

"Apabila ada pihak yang menghargai kemenangan yang saya dengan menyediakan imbuhan, saya hanya mampu bersyukur dan mengucapkan terima kasih," katanya yang kini berada di pusat latihan negara di Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 6:06 PM