PRESIDEN Ragbi Malaysia (MR) Amir Amri Mohamad.
PRESIDEN Ragbi Malaysia (MR) Amir Amri Mohamad.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ragbi Malaysia (MR) akan menggunakan platform Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah (7s) untuk memilih pemain terbaik bagi mewakili negara ke kejohanan 7s Asia pada September ini.

Presiden Ragbi Malaysia (MR) Amir Amri Mohamad berkata sebanyak 14 pasukan yang mewakili negeri termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyertai Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan 2024 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Terengganu, mulai 12 hingga 14 Julai ini.

Beliau berkata, barisan pemain berkualiti dan terbaik sudah pastinya akan menyertai kejohanan terbabit sekali gus memudahkan jurulatih untuk membuat pemilihan bagi skuad kebangsaan.

"Ini peluang terbaik kepada jurulatih memilih pemain terbaik dan bakat baharu yang dapat diserap dalam pasukan kebangsaan.

"Ada tiga perlawanan di Thailand, Korea Selatan dan China. Oleh itu, penting untuk memilih pemain terbaik menerusi kejohanan terbabit," katanya.

Mengikut rekod, undian Kejohanan Ragbi 7s, juara musim lalu, Terengganu yang menjadi tuan rumah saingan kali ini diundi dalam Kumpulan D bersama ATM dan Perak.

Selain mengharungi kejohanan 7s Asia pada September ini, skuad kebangsaan turut dalam rangka persediaan untuk beraksi di Sukan Sea Thailand 2025.

Pencapaian terbaik skuad 7s negara di pentas Sukan Asia adalah dengan merangkul pingat emas pada 2017 di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 6:31 PM