NUR Shazrin meraikan kejayaannya meraih pingat emas pertama negara. FOTO AtletMalaysia
NUR Shazrin meraikan kejayaannya meraih pingat emas pertama negara. FOTO AtletMalaysia
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Atlet pelayaran kebangsaan, Nur Shazrin Mohamad Latif menghadiahkan khabar gembira buat kontinjen negara pada hari keempat temasya Sukan Asia, Hangzhou apabila menjelmakan pingat emas pertama negara.

Dia yang mempamerkan aksi konsisten sejak hari pertama, meraih pingat berkenaan tanpa perlu berhempas pulas pada perlumbaan ke-12 iaitu yang terakhir kerana dibatalkan berikutan masalah angin di Pusat Pelayaran Ningbo Xiangshan, kira-kira 170 kilometer dari sini, hari ini.

Lebih menggembirakan kejayaan itu menyaksikan dia layak secara merit ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024, penyertaan ketiganya di kejohanan terbesar dunia itu.

Nur Shazrin bermula cemerlang dalam empat perlumbaan ILCA 6 wanita sebelum aksinya sedikit merudum pada lima perlumbaan terakhir.

Namun aksinya di lima perlumbaan terawal sudah cukup untuk menobatkannya sebagai juara acara ILCA 6 .

"Saya mengharapkan ada perlumbaan hari ini sebab saya boleh lihat keputusan dan kedudukan saya. Kalau boleh saya nak habiskan semua perlumbaan tapi Alhamdulillah saya menang.

"Saya juga tak jangka emas ini cuma saya akan berikan yang terbaik dalam semua perlumbaan dan tidak buat kesalahan yang bukan-bukan," katanya yang berharap dapat diberi lebih banyak pendedahan sebagai persediaan ke Paris nanti.

Sementara itu pingat perak acara berkenaan diraih pelayar dari Hong Kong, Stephanie Louise Norton manakala gangsa di raih atlet India, Nethra Kumanan.

Dia yang juga pemenang pingat gangsa temasya Sukan Asia Palembang-Jakarta 2018 itu berharap kejayaannya hari ini menjadi motivasi kepada semua atlet negara yang masih meneruskan perjuangan memburu pingat.

Lima tahun lalu di Palembang-Jakarta, Shazrin meraih gangsa dalam acara laser radial, tewas kepada atlet Jepun, Manami Doi dan perak diraih Zhang Dongshuang dari China.

Tamatnya aksi terakhir hari ini, skuad pelayaran negara menghadiahkan satu emas dan dua gangsa yang disumbangkan oleh Asnawi Iqbal Adam dan Tengku Nuraini Ezaty Tengku Khairudeen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 2:21 PM