KONTRAK Stuart bersama MLF tamat Ogos ini.
KONTRAK Stuart bersama MLF tamat Ogos ini.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam tetap komited meneruskan tanggungjawabnya mengetuai badan pengendali liga itu biarpun wujud dakwaan beliau bakal meninggalkan posisinya itu.

"Ramai menghubungi saya mengenai khabar angin mengenai kedudukan saya baru-baru ini. Apa yang boleh saya katakan buat masa ini ialah saya komited kepada MFL dan perbincangan sedang berjalan berkaitan kontrak saya yang berakhir pada Ogos.

"Sila ambil perhatian bahawa sebarang perkara rasmi mengenai perkara ini akan diumumkan dalam masa terdekat dan buat masa ini saya masih komited dengan peranan saya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam tersebar dakwaan Stuart bakal mengundurkan diri selaku CEO MFL selepas dilantik ke jawatan itu pada 2021 lalu. Sebelum itu, beliau adalah Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dari 2018 hingga 2021.

Untuk rekod, Stuart bermula karier pengurusan dalam bola sepak pada 2008 selepas dilantik oleh Fifa sebagai 'Professionalisation Consultant' yang bertanggungjawab memberikan sokongan berterusan dan konsultansi kepada ahli-ahli gabungan Fifa dalam mewujudkan liga-liga baharu, mengemaskini pentadbiran persatuan negara serta menjadi perancang bagi program pendidikan pentadbiran Fifa (Futuro III).

Empat tahun kemudian, Stuart dilantik menjadi CEO Malaysian Super League (MSL) pada 2010 and diberikan kepercayaan untuk merencanakan struktur FAM and juga aspek-aspek komersial badan induk persatuan ini.

Pada 2012, Stuart menyertai pula AFC dengan memegang pelbagai jawatan pengarah di sana termasuk Pengarah Kejohanan Kelab-Kelab AFC (termasuk AFC Champions League, AFC Cup dan kejohanan-kejohanan Futsal AFC), Pengarah Pemasaran dan juga Pengarah Social Responsibility.

Selepas berkhidmat di pelbagai tahap organisasi bola sepak, Stuart kemudiannya menjadi konsultan kepada Dentsu Sports dan IMG, dua agensi sukan terbesar di dunia pada 2014.

Di Dentsu Sports, Stuart kemudian mengambil alih jawatan Naib Presiden selama empat tahun sehingga tahun 2018 ini dan mengetuai operasi agensi tersebut di Asia termasuk penajaan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, pengurusan Sukan Asia 2018 Indonesia dan perencanaan strategi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 6:23 PM