SPRM
SPRM
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN 2/2024) akan diteliti bagi mengenal pasti sekiranya ada unsur rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan membabitkan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pihaknya sudah menerima dokumen berkaitan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud hari ini.

"SPRM akan meneliti keseluruhan dokumen bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009.

"Selain kesalahan jenayah, SPRM juga akan meneliti isu kelemahan tata kelola yang dibangkitkan dalam LKAN 2/2024.

"Dokumen berkenaan diserahkan kepada SPRM oleh Setiausaha Kesuma pada 11.30 pagi hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu media melaporkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Dapatan itu diperoleh menerusi slaid pembentangan HRD Corp bertarikh 12 Mac 2024 seperti dinyatakan dalam laporan PAC berhubung Pengurusan Dana Latihan Dan Keberkesanan HRD Corp di bawah Kesuma.

Laporan PAC turut mendedahkan, panel pelaburan HRD Corp gagal melaporkan aktiviti pelaburan yang sepatutnya kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) atas justifikasi bahawa pengerusi panel pelaburan adalah pengerusi ALP.

Susulan daripada itu, ALP tidak berupaya memantau aktiviti pelaburan HRD Corp secara menyeluruh dan ini menjejaskan peranannya sebagai entiti yang bertanggungjawab terhadap hala tuju HRD Corp.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 6:21 PM