Nur Shazrin Mohamad Latif. FOTO FATHIL ASRI
Nur Shazrin Mohamad Latif. FOTO FATHIL ASRI
Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohamad Latif masih menunggu kata putus daripada Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) berhubung perancangannya sepanjang tempoh 2024.

Nur Shazrin yang berasal dari Pekan, Pahang berkata, walaupun ketika ini masih dalam 'mood' berehat namun dia tetap melakukan persediaan membabitkan mental dan fizikal.

Katanya, dia yang berada dalam Program Podium ketika ini mahu memastikan tidak berhadapan sebarang masalah sebelum menyertai temasya Olimpik kelak.

"Pada masa sekarang, saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya. Saya masih perlu menunggu apa yang sudah dirancang oleh persatuan.

"Mungkin ada program yang sudah dirancang mereka bersama Majlis Sukan Negara (MSN). Apa pun saya tunggu perancangan terbabit," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, jawatankuasa Road To Gold (RTG) bertindak mengekalkan Shazrin dalam Program Podium meskipun atlet itu berjaya meraih pingat emas menerusi acara ILCA 6 wanita di Sukan Asia 2022, Hangzhou baru-baru ini.

Kejayaan itu turut menyaksikan dia kini layak menempah tiket secara merit ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024, seiring penyertaan ketiganya di kejohanan terbesar dunia itu.

Shazrin juga bakal menerima insentif tambahan untuk kelayakannya di temasya Olimpik berkenaan melalui Skim Insentif Sukan Olimpik (SISO).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 5:38 PM