NUR Shazrin mahu manfaatkan sebaiknya ilmu jurulatih luar.
NUR Shazrin mahu manfaatkan sebaiknya ilmu jurulatih luar.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Atlet pelayaran kebangsaan, Nur Shazrin Mohamad Latif menyerahkan kepada Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) dalam menentukan jurulatih luar negara yang akan melatihnya sebagai persiapan bersaing pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurutnya, terpulang pada persatuan memilih individu yang sesuai untuk melatihnya bagi menghadapi cabaran pertandingan tertinggi itu.

"Saya yakin persatuan memiliki calonsesuai untuk melatih saya, mungkin pegawai (MSA) mengenal pasti jurulatih berpengalaman dan mampu mencurah ilmu pelayaran pada saya.

"Lokasi latihan saya tidak kisah di mana negara yang persatuan pilih saya akan terima. Peluang disediakan akan digunakan sepenuhnya," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MSA, Mazlan Othman dalam kenyataan hari ini menyatakan pihaknya sudah memaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) tentang cadangan mengambil jurulatih luar negara bagi melatih pemenang pingat emas Sukan Asia, Hangzhou, Nur Shazrin.

Nur Shazrin berkata, dia yakin kelebihan kehadiran jurulatih luar negara akan dapat dilihat terutama dalam usaha negara memburu pingat pertama Sukan Olimpik.

"Saya akan berusaha menimba seberapa banyak ilmu pelayaran daripada jurulatih luar. Semua pihak pastinya ingin melihat kejayaan dapat diraih dengan kehadiran jurulatih import.

"Kalau boleh saya ingin mengikuti latihan di pantai Marseille yang menjadi gelanggang utama acara pelayaran temasya Sukan Olimpik Paris 2024," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 9:48 PM