ANITA mengangkat tangan selepas muncul juara acara baling tukul besi wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO FAIL Reuters
ANITA mengangkat tangan selepas muncul juara acara baling tukul besi wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO FAIL Reuters
Reuters

Warsaw: Juara dunia tiga kali acara baling tukul besi wanita, Anita Wlodarczyk berkata, cadangan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk membenarkan atlet Rusia dan Belarus bertanding di peringkat antarabangsa memang menyakitkan dan berharap keputusan itu akan berubah.

IOC menyekat pembabitan atlet Rusia dan Belarus selepas serangan Moscow ke atas Ukraine pada Februari 2022, tetapi minggu lalu mencadangkan atlet terbabit bertanding di peringkat antarabangsa sebagai atlet neutral.

"Cadangan ini menyakitkan," kata jaguh Olimpik Poland itu kepada media di lapangan terbang Warsaw sebelum berlepas ke Rom, apabila dia akan terbabit dalam majlis penyerahan obor Olimpik menjelang Sukan Eropah di Cracow, Jun depan.

"Kami tidak sepatutnya berfikir mengenai perkara itu sama sekali. Ia sepatutnya memberi mesej jelas menyatakan atlet kedua-dua negara itu tidak layak bertanding," kata Anita, 37.

"Saya tidak boleh bayangkan apabila atlet dari Ukraine akan bersaing dengan atlet Rusia dalam sesuatu kejohanan kerana ia bukan saja memberi tekanan dan penuh emosi, malah ia membabitkan isu psikologi dan ia adalah sesuatu yang teruk dan dahsyat."

Sukan Eropah 2023 akan dilangsungkan tanpa pembabitan atlet Rusia dan Belarus.

"Saya tetap dengan keputusan mereka sepatutnya dikecualikan daripada semua kejohanan antarabangsa," kata Anita.

"Ia bukan mudah kerana turut membabitkan politik dan kita selalu menyatakan sukan sepatutnya diasingkan daripad politik. Tetapi, perkara itu tidak berlaku di sini."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 9:39 AM