RUSIA, Belarus tidak sertai Sukan Asia seperti dicadangkan sebelum ini. FOTO Agensi
RUSIA, Belarus tidak sertai Sukan Asia seperti dicadangkan sebelum ini. FOTO Agensi
AFP

Lausanne: Atlet Rusia dan Belarus tidak akan bertanding di Sukan Asia di China bulan ini selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membuat kesimpulan bahawa rancangan itu 'tidak boleh dilaksanakan'.

Kedua-dua negara dikecualikan daripada banyak acara sukan sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022, walaupun atlet individu dibenarkan bertanding di bawah sekatan tertentu.

IOC berkata awal tahun ini berkata peluang untuk penyertaan atlet negara berkenaan dalam Sukan Olimpik Paris 2024, walaupun sebagai atlet neutral, harus diperhalusi.

Pada mesyuarat di Bangkok Julai lalu, Perhimpunan Agung Majlis Olimpik Asia mengundi untuk membenarkan maksimum 500 pesaing dari negara berkenaan bertanding, bagi membolehkan mereka memperoleh standard kelayakan untuk ke Sukan Olimpik.

Tetapi jurucakap IOC berkata: "Konsep penyertaan atlet dengan pasport Rusia dan Belarus pada Sukan Asia 2023 diperhalusi seperti yang dibincangkan pada Sidang Kemuncak Olimpik pada Disember 2022, namun tidak dapat dilaksanakan atas sebab teknikal."

Sukan Asia bermula di Hangzhou pada 23 September sehingga 8 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 10:33 PM