DANIIL Kvyat. FOTO Agensi
DANIIL Kvyat. FOTO Agensi
AFP

Paris: Bekas pelumba Formula Satu (F1) Rusia, Daniil Kvyat berkata sukan sepatutnya kekal tidak dikaitkan dengan politik dan mengecam penggantungan atlet negara itu daripada bertanding sebagai tidak adil selepas negaranya menceroboh Ukraine.

Rusia disingkirkan daripada beraksi di Piala Dunia 2022 dan kesemua pasukan kebangsaan serta kelab digantung daripada menyertai saingan bola sepak antarabangsa.

Keputusan diambil Fifa dan Uefa serta penggantungan sama dikenakan oleh sukan-sukan lain termasuk olahraga dan ski ais, hadir selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mendesak persekutuan sukan mengenakan larangan ke atas Rusia dan Belarus.

Grand Prix Formula Satu Rusia yang sepatutnya berlangsung 25 September depan dibatalkan Jumaat lalu.

FIA juga mengumumkan pemandu Rusia tidak boleh beraksi di bawah bendera negara mereka dan lagu kebangsaan Rusia tidak akan dimainkan di F1.

"Persekutuan sukan di seluruh dunia termasuk IOC perlu kekal di luar politik. Tidak membenarkan atlet Rusia dan pasukannya bertanding di kejohanan dunia adalah penyelesaian yang tidak adil.

"Siapa lagi jika bukan kita orang-orang sukan yang membantu menyatukan negara-negara pada masa akan datang," kata Kvyat.

Kvyat yang pernah beraksi bersama Red Bull dan Toro Rosso berharap ada jalan penyelesaian terbaik daripada krisis itu.

"Diharap semua pihak dapat mencari penyelesaian dengan duduk bersama dan mengadakan perbincangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 9:01 AM