ATLET Rusia dibenarkan mengambil bahagian di Olimpik Paris dengan status neutral. FOTO Reuters
ATLET Rusia dibenarkan mengambil bahagian di Olimpik Paris dengan status neutral. FOTO Reuters
Reuters

Berlin: Atlet Rusia dan Belarus yang layak dalam sukan mereka ke temasya Olimpik Paris 2024 boleh mengambil bahagian sebagai wakil neutral tanpa bendera, lambang atau lagu kebangsaan, kata Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Atlet Rusia dan Belarus pada mulanya dilarang daripada bersaing di peringkat antarabangsa berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tahun lalu.

Mac lalu IOC mengeluarkan mengesyorkan untuk persekutuan sukan antarabangsa membenarkan atlet Rusia dan Belarus kembali dan mereka mengambil bahagian dalam kebanyakan kejohanan.

Bagaimanapun, olahraga acara terbesar di temasya berkenaan, masih lagi belum membuka pintu buat atlet dari negara berkenaan mengambil bahagian dan kekal dengan pendirian.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba mengecam keputusan IOC yang dianggap sebagai 'memalukan', manakala Menteri Sukan Rusia, Oleg Matytsin menggelar syarat yang ditetapkan oleh IOC untuk penyertaan atlet Rusia di Sukan Olimpik sebagai 'diskriminasi'.

"Lembaga Eksekutif (EB) IOC memutuskan bahawa Atlet Neutral Individu (AIN) yang layak melalui sistem kelayakan sedia ada Persekutuan Antarabangsa (IF) akan diisytiharkan layak untuk bertanding di Sukan Olimpik Paris. 2024," kata badan Olimpik itu dalam satu kenyataan.

"Atlet Neutral Individu ialah atlet yang memiliki pasport Rusia atau Belarus."

Atlet neutral hanya akan bersaing dalam sukan individu dan tiada pasukan untuk kedua-dua negara akan dibenarkan.

Atlet yang aktif menyokong perang di Ukraine tidak layak, begitu juga mereka yang mempunyai kontrak dengan tentera Rusia atau Belarus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 9:47 AM