YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk kepada bekas ratu boling negara, Datuk Shalin Zulkifli pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2023 di Istana Negara, semalam. FOTO Bernama
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk kepada bekas ratu boling negara, Datuk Shalin Zulkifli pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2023 di Istana Negara, semalam. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Segala penat lelah dan pengorbanan demi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa akhirnya terbayar apabila bekas ratu boling negara Shalin Zulkifli menerima Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Shalin berkata, walaupun ada beberapa pihak yang mempersoalkan gelaran Datuk yang diterima agak 'lewat' namun beliau tetap bersyukur dan terharu akhirnya tetap menerima penghargaan itu.

Beliau yang juga yang bergelar juara dunia pada 2003 di Malaysia, 2007 di Mexico dan 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat berkata, masanya akan tiba kepada atlet lain yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa untuk bergelar 'Datuk'.

"Cepat atau lambat bukanlah masalah besar kerana pada akhirnya kita tetap akan menerima anugerah (gelaran Datuk) berdasarkan kepada kelayakan dan kejayaan dikecapi.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak terutamanya Yang DiPertuan Agong, Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kerana menganugerahkan Darjah Kebesaran PMW.

"Anugerah ini juga menjadi peniup semangat kepada atlet lain untuk terus berusaha mencipta kejayaan di pentas antarabangsa," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Shalin menerima pingat itu dalam istiadat bersempena Hari Wilayah Persekutuan di hadapan Yang DiPertuan Agong di Istana Negara, semalam.

Selain Datuk Shalin Zulkifli, beberapa ahli sukan lain yang turut menerima PMW ialah bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Lim Teong Kim, atlet bina badan, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan bekas Pengarah Kejurulatihan Persekutuan Karate Malaysia, Datuk P Arivalagan.

Shalin yang mengumumkan persaraan dua tahun lalu boleh dikatakan meraih penghargaan berganda pada tahun ini.

Pada awal Januari lalu, beliau turut mnerima anugerah khas iaitu Ikon Sukan Legenda sempena Anugerah Ikon Sukan Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 3:38 PM