YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk kepada Shalin. FOTO Bernama
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk kepada Shalin. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bekas ratu boling negara Shalin Zulkifli yang menerima Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk menoktahkan penantian dua tahun 'perjuangan' untuk beliau mendapatkan penghargaan itu.

Shalin menerima pingat itu dalam istiadat bersempena Hari Wilayah Persekutuan di hadapan Yang DiPertuan Agong, Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara semalam.

Selain Datuk Shalin Zulkifli, beberapa ahli sukan lain yang turut menerima PMW ialah bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Lim Teong Kim, atlet bina badan Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan bekas Pengarah Kejurulatihan Persekutuan Karate Malaysia Datuk P Arivalagan.

Dua tahun lalu, Arena Metro melaporkan secara ekslusif Shalin sepatutnya menerima darjah kebesaran bergelar Datuk berikutan kecemerlangan sepanjang hampir tiga dekad mewakili negara termasuk tiga kali menjadi juara dunia dan lima kali dipilih Olahragawati Kebangsaan.

Malah nama Shalin boleh dikatakan setaraf dengan dua jaguh sukan tanah air iaitu bintang badminton, Datuk Lee Chong Wei dan jagoan skuasy, Datuk Nicol David.

Tidak keterlaluan, jasanya lebih besar kepada negara berbanding dua artis antarabangsa iaitu bintang Hindi terkenal, Datuk Shah Rukh Khan dan penyanyi Indonesia, Datuk Rossa.

Jaguh tenpin boling negara, Natasha Roslan berkata penghargaan yang dicapai Shalin membuktikan atlet boling memainkan peranan penting dalam mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

"Alhamdulillah, saya sangat gembira untuk Kak Shalin. Sememangnya dia layak kerana dia sudah banyak berjasa untuk negara dan ini juga adalah satu kejayaan buat sukan boling di negara ini secara keseluruhan," katanya.

Selain itu, Shalin yang bergelar juara dunia pada 2003 di Malaysia, 2007 di Mexico dan 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat sebelum bersara boleh dikatakan meraih penghargaan berganda pada tahun ini.

Hal ini kerana, pada awal Januari lalu, beliau turut menerima anugerah khas iaitu Ikon Sukan Legenda sempena Anugerah Ikon Sukan Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 2:21 PM