SKUAD Bunya Raya 7s berangkat ke Bangkok pada jam 9 pagi tadi.   FOTO Malaysia Rugby
SKUAD Bunya Raya 7s berangkat ke Bangkok pada jam 9 pagi tadi. FOTO Malaysia Rugby
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Kehilangan beberapa tonggak utama dalam skuad ragbi tujuh sebelah (7s) negara dilihat sedikit sebanyak akan menjejaskan rentak permainan mereka ketika perlawanan Siri 1 Kejohanan Asia Rugby Sevens Series 2022 yang dijadual berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Stadium Boonyachinda, Bangkok, Thailand.

Ini kerana, beberapa pemain utama yang beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini tidak akan dibawa menyertai kejohanan kali ini akibat kecederaan dialami mereka.

Bagaimanapun, ketua jurulatih negara, Mohd Saizul Hafifi Md Noor percaya dengan kemasukan pemain baharu yang dipilih semasa Sukan Malaysia (Sukma) 2022, bulan lalu mampu menghadirkan berita gembira buat kem ragbi 7s negara.

"Sekarang ini kami ada kekangan sedikit disebabkan tiga pemain utama (di Sukan Komanwel) mengalami kecederaan. Jadi, kami tak bawa mereka untuk kejohanan kali ini kerana memang tak boleh bermain. Sebab itu juga kami ambil ramai pemain di Sukma.

"Walaupun kita kehilangan pemain utama tapi dengan kehadiran pemain baharu ini nampak keserasiannya dan saya harapkan mereka dapat buat persembahan yang terbaik. Perlawanan Siri 1 adalah skuad gabungan daripada pemain senior dan baharu," katanya ketika dihubungi.

Mohd Saizul yang mula mengemudi skuad negara sejak 2015 itu turut mengakui mereka bakal berdepan laluan sukar apabila berada dalam satu kumpulan bersama pasukan pilihan seperti Jepun dan Korea Selatan.

"Sebenarnya kita berada dalam kumpulan agak sukar di kejohanan itu dengan adanya pasukan seperti Jepun dan Korea Selatan. Untuk mara ke separuh akhir sekurang-kurangnya perlu menang satu perlawanan.

"Sasaran pasukan bagi ketiga-tiga siri yang dipertandingkan adalah untuk mendapatkan tempat keenam atau kelima," katanya.

Selain Malaysia, Jepun dan Korea, empat lagi pasukan yang akan turut berentap adalah Hong Kong, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Filipina.

Skuad Bunga Raya dijadual membuat perhitungan dengan Korea Selatan pada pagi Sabtu ini dalam aksi pembukaan Kumpulan B sebelum menentang pasukan dengan gelaran juara terbanyak (tujuh kejuaraan) iaitu Jepun pada petang hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 2:25 PM