JURULATIH ragbi negara, Saizul Hafifi. -FOTO NSTP
JURULATIH ragbi negara, Saizul Hafifi. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan ragbi tujuh sebelah (7s) negara mahu tampil lebih meyakinkan pada Sukan Komanwel Birmingham apabila menjalani latihan di luar negara sebelum berentap di temasya berkenaan bermula hujung bulan ini.

Walaupun mengetahui bakal mengharungi ujian getir selepas diundi dalam kumpulan B bersama pasukan gergasi gergasi seperti Afrika Selatan, Scotland dan Tonga namun barisan anak buah Mohd Saizul Hafifi Md Noor tidak mahu mengangkat 'bendera putih' terlalu awal sebelum beraksi di kejohanan terbabit.

Mohd Saizul berkata, ketika ini barisan pemain ragbi 7s negara giat menjalani latihan di Universiti Cardiff, Birmingham bagi menyesuai diri dengan keadaan cuaca di negara berkenaan sebelum mengharungi perlawanan di temasya empat tahun sekali itu.

Beliau berkata, barisan pemain negara ketika ini berada dalam keadaan optimum tanpa sebarang kecederaan serius dan mengharapkan mereka mampu mengekalkan momentum berkenaan dalam usaha meraih keputusan positif kelak.

"Setakat ini persiapan di Cardiff berjalan dengan baik manakala keadaan pemain juga tiada masalah malah menunjukkan perkembangan positif.

"Saya mengharapkan mereka akan terus memperbaiki kelemahan masing-masing sebelum menjelangnya Komanwel.

"Barisan pemain turut mengharungi perlawanan persahabatan bersama pasukan China dan ia cukup penting untuk kita memilih barisan pemain serta merancang strategi lebih berkesan," katanya.

Terdahulu, skuad Bunga Raya menyertai kejohanan ragbi tempatan Sixways 7s sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Kejohanan berlangsung di Stadium Sixways, Worcester, England pada Sabtu lalu menyaksikan skuad Bunga Raya berada dalam kumpulan E1 berdepan pasukan Midlands Mobs, Prostate Cymru, Gogs Raiders dan Jagerbombers International.

Selain itu, Mohd Saizul berkata, aksi pemanas badan menentang kelab tempatan itu bagi menguji ketahanan fizikal skuad negara apabila berdepan pemain yang mempunyai fizikal badan lebih besar berbanding pemain Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 1:02 PM