Aida Adilah Mat


KUALA LUMPUR: Skuad ragbi negara sedar peluang beraksi di temasya Sukan Sea Vietnam tahun depan adalah tipis biarpun Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) sudahpun menghantar rayuan mempertimbangkan acara itu untuk disenaraikan.

Justeru lebih baik pasukan negara memberi fokus kepada sasaran memburu pingat Sukan Asia selain persiapan ke Sukan Komanwel dua tahun lagi.

Jurulatih negara, Mohd Saizul Hafifi Md Noor berkata, beliau tidak menaruh harapan tinggi berikutan Vietnam tidak pernah menyertai acara ragbi di mana-mana temasya sebelum ini.

Beliau berkata, berbekalkan program yang disusun atur oleh Majlis Sukan Negara (MSN), skuad kebangsaan boleh memberikan cabaran kepada penentuan pingat di Sukan Asia kelak.

Biarpun tampak sukar dengan barisan pemain muda yang majoriti berusia dalam lingkungan 22 tahun ke bawah, harapan untuk berada di kelompok empat terbaik dan memberikan cabaran untuk persaingan pingat bukan satu yang mustahil.

"Program 2022 oleh MSN dengan mengambil pemain muda untuk bergerak dalam tempoh dua tahun itu adalah sangat baik. Bagaimanapun kami masih mengekalkan pemain senior dalam lima orang yang akan bersama skuad kebangsaan Ogos ini.

"Penyerapan pemain muda ke dalam skuad ini sebahagian daripada perancangan skuad kebangsaan kerana kita mahu bersedia sedia daripada sekarang bagi memastikan mereka ini mampu memberikan cabaran di peringkat Asia nanti," katanya yang turut membawa skuad ragbi negara meraih perak di Sukan Sea Filipina yang lalu.

Untuk rekod, skuad ragbi negara menduduki tempat kelima di belakang Sri Lanka dari 12 pasukan yang bertanding ketika beraksi di Sukan Asia Jakarta yang menyaksikan Hong Kong meraih emas Jepun dan Korea Selatan masing-masing perak dan gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 6:00 AM