KACHERAN (kiri) gagal ujian doping. FOTO Agensi
KACHERAN (kiri) gagal ujian doping. FOTO Agensi
AFP

Nairobi: Pelari maraton, Philemon Kacheran digantung selama tiga tahun kerana didapati positif menggunakan tahap testosteron berlebihan, kata Unit Integriti Olahraga (AIU) sekali gus menyaksikannya atlet Kenya ke-20 yang dikenakan penggantungan pada tahun ini.

Kacheran, 30, yang menduduki tempat kelima maraton Berlin 2021, pada mulanya digantung Julai lalu dan digugurkan daripada pasukan maraton kebangsaan Kenya untuk Sukan Komanwel di Birmingham.

Penggantungan Kacheran berlaku hanya enam hari selepas rakan senegara, Lawrence Cherono, juara maraton Chicago dan Boston 2019, dihalang daripada bertanding dekat Kejohanan Olahraga Dunia di Oregon, juga atas kesalahan doping.

AIU berkata, Kacheran mengakui melanggar peraturan doping yang didapati daripada ujian air kencing di luar pertandingan yang diambil di kampung halamannya di Kapenguria, Kenya Barat, April lalu.

"Pada 12 September 2022, atlet itu mengembalikan pengakuan yang ditandatangani bagi pelanggaran peraturan anti-doping dan menerima tempoh hukuman ditetapkan," kata AIU.

Pengakuannya itu menyaksikan penggantungan selama empat tahun dikurangkan kepada tiga tahun.

Penggantungan Kacheran terus menjejaskan reputasi olahraga Kenya. Pada 2016, negara itu diletakkan dalam kategori teratas senarai pantauan pematuhan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Pada 2022, 20 atlet Kenya, kebanyakannya pelari maraton, sudah dikenakan hukuman penggantungan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 10:27 AM