NATALIA ketika ini sedang digantung empat tahun sehingga 2025 kerana melanggar peraturan anti-doping selepas keputusan dibuat CAS. FOTO fail AFP
NATALIA ketika ini sedang digantung empat tahun sehingga 2025 kerana melanggar peraturan anti-doping selepas keputusan dibuat CAS. FOTO fail AFP
Reuters

London: Atlet Rusia yang digantung dan juara Olimpik acara 400 meter (m) lari berpagar wanita, Natalia Antyukh bakal kehilangan pingat emas di London 2012 selepas Unit Integriti Olahraga (AIU) membatalkan pencapaiannya dari Julai 2012 hingga Jun 2013.

Natalia, 41, menang emas di Olimpik London pada Ogos 2012 dengan menewaskan atlet Amerika Syarikat (AS), Lashinda Demus, yang akan dianugerahkan emas jika Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bertindak berdasarkan keputusan AIU itu.

"Berdasarkan dakwaan AIU mengikut data LIMS, atlet Rusia, Natalia Antyukh digantung menggunakan Peraturan Bahan Larangan dan keputusan pencapaiannya dari 15 Julai 2012 hingga 29 Jun 2013 turut dibatalkan," kata AIU dalam satu kenyataan.

Pencapaian Natalia dibatalkan selepas Agensi Anti-Doping Rusia (RUSADA) membuat keputusan pada minggu lalu dan perintah itu akan berkuat kuasa sekiranya tiada rayuan dibuat dalam masa 45 hari.

AIU kemudian akan memaklumkan kepada Jabatan Pertandingan Olahraga Dunia, jadi mereka akan membatalkan keputusan sebelum AIU memaklumkan kepada IOC untuk mengesahkan penggantungan dan menarik semula pingat dimenanginya.

Natalia ketika ini sedang digantung empat tahun sehingga 2025 kerana melanggar peraturan anti-doping, selepas perintah itu dilaksanakan tahun lalu oleh Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

Pada masa ini, CAS berkata, semua pencapaiannya dalam acara kompetitif sejak Jun 2013 sehingga April 2021, dibatalkan.

Natalia turut menang gangsa 400m pada 2004 dan perak acara 4x400m berganti-ganti pada 2008. Dia terlepas perak acara 4x400m berganti-ganti pada 2012 apabila rakan sepasukan, Antonina Krivoshapka didapati bersalah isu doping.

Malah, banyak pingat dimenangi atle Rusia dari Olimpik London 2012 ditarik balik kerana melanggar peraturan anti-doping.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 11:08 AM