DIANA melintasi garisan penamat untuk memenangi Maraton Boston, Oktober tahun lalu. FOTO Reuters
DIANA melintasi garisan penamat untuk memenangi Maraton Boston, Oktober tahun lalu. FOTO Reuters
Reuters

London: Pemenang Maraton Boston 2021 Kenya, Diana Kipyokei dan rakan senegara, Betty Wilson Lempus digantung sementara kerana menggunakan bahan terlarang triamcinolone acetonide, kata Unit Integriti Olahraga (AIU), semalam.

Kedua-duanya juga didakwa menghalang siasatan AIU dengan memberikan maklumat atau dokumentasi palsu.

"Selepas siasatan menyeluruh, AIU menggantung sementara dua atlet maraton Kenya, Diana Kipyokei dan Betty Wilson Lempus dan mendakwa mereka dengan beberapa pelanggaran Peraturan Anti-Doping Olahraga Dunia.

"Pelanggaran peraturan anti-doping ini berpunca daripada siasatan ke dalam maklumat yang diberikan oleh atlet untuk menjelaskan penemuan triamcinolone acetonide dalam sampel mereka," kata badan itu dalam satu kenyataan.

Sampel Kipyokei diambil selepas kemenangannya di Boston Oktober lalu dan atlet berusia 28 tahun itu akan dilucutkan gelaran jika didapati bersalah.

Lempus, 31, diuji berikutan kemenangannya di Harmonie Mutuelle Semi de Paris pada September tahun lalu.

Triamcinolone acetonide adalah bahan yang dilarang digunakan dan kebiasaannya hanya digunakan sebagai bahan terapeutik dalam sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 10:54 AM