TITUS Ekiru. FOTO AGENSI
TITUS Ekiru. FOTO AGENSI
AFP

Nairobi: Pelari maraton Kenya, Titus Ekiru dikenakan hukuman penggantungan 10 tahun kerana kegagalan doping dan cuba menghalang siasatan, kata Unit Integriti Olahraga (AIU), semalam.

Atlet berusia 31 tahun itu diuji positif menggunakan bahan terlarang selepas memenangi maraton Milan pada Mei 2021 dan saingan di Abu Dhabi pada November tahun itu, kata AIU dalam satu kenyataan.

Kenya menyaksikan lonjakan dalam kes doping yang mencemarkan reputasi kuasa besar olahraga itu. Hampir 70 atlet terutamanya pelari jarak jauh digantung dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Sebagai tambahan kepada hukuman penggantungan itu, AIU berkata, segala pencapaian Ekiru termasuk kemenangan di Milan dibatalkan dan semua hadiah kemenangannya ditarik semula.

Kemenangannya di Milan dengan catatan masa yang sangat pantas iaitu 2 jam 2 minit 57 saat, menyaksikannya muncul pelari maraton keenam terpantas sepanjang zaman tetapi kini dia sudah dilucutkan daripada gelaran itu.

Hukuman penggantungan itu selepas 'siasatan menyeluruh' yang mendedahkan Ekiru menganggu siasatan AIU serta pakatan sulit oleh doktor kanan di hospital Kenya, kata agensi itu.

"Pada mulanya, Ekiru menyatakan hasratnya untuk melawan pertuduhan itu. Bagaimanapun, selepas berdepan dengan bukti kukuh terhadapnya, atlet Kenya itu memutuskan bahawa dia tidak mahu lagi meneruskan kes itu," kata kenyataan itu.

Ekiru diuji positif menggunakan bahan terlarang triamcinolone acetonide selepas menang di Milan dan bahan terlarang pethidine selepas kemenangannya di Abu Dhabi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 9:47 AM