BEREGU skuasy kebangsaan Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman di  Kejohanan Beregu Campuran Jemputan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), di sini, hari ini. FOTO SRAM
BEREGU skuasy kebangsaan Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman di Kejohanan Beregu Campuran Jemputan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), di sini, hari ini. FOTO SRAM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Beregu skuasy kebangsaan Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman menyasarkan untuk mengungguli acara beregu campuran yang bakal julung kali dianjurkan di Sukan Asia di Hangzhou, China, pada 23 September hingga 8 Oktober ini.

Beregu utama negara itu menerima motivasi tambahan apabila pelan permainan dan teknik baharu mereka 'menjadi' sekali gus membantu gandingan itu untuk memenangi Kejohanan Beregu Campuran Jemputan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), di sini, hari ini.

Mohammad Syafiq, 26, berkata selepas tewas di separuh akhir kepada Harinder Pal Singh-Dipika Pallikal dari India di Kejohanan Beregu Campuran Skuasy Asia bulan lepas, mereka bekerja keras untuk menambah baik kualiti permainan bagi memastikan emas Sukan Asia tidak terlepas.

"Kini kami lebih baik dari segi fizikal dan kekuatan mental dan kami mahu menang seberapa banyak perlawanan yang boleh.

"Ini akan membantu kami tiba di Hangzhou dengan keyakinan yang tinggi dan tidak risau untuk berdepan mana-mana lawan," katanya selepas upacara penyampaian hadiah kejohanan itu di sini, hari ini.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita ke-29 dunia Aifa yakin dengan misi mereka untuk merangkul emas di Sukan Asia terutama selepas banyak perkara dipelajari mereka daripada kekalahan menentang Harinder-Dipika.

"Kami tahu semua pemain bertambah baik menjelang Sukan Asia, jadi kami perlu memastikan mutu permainan yang cemerlang dan terus meningkat.

"Kami mula mempelajari corak permainan pasangan India itu sejak kekalahan tersebut dan membaiki kelemahan serta menguatkan kombinasi kami," katanya.

Selain Harinder-Dipika, Aifa turut menganggap beregu Hong Kong, Tong Tze Wing-Tang Ming Hong dan Lee Ka Yi-Wong Chi Him sebagai lawan yang kuat dalam misi merangkul emas Sukan Asia itu.

Sementara itu Mohammad Syafiq-Aifa menewaskan rakan sepasukan Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar-Noor Ainaa Amani Ampandi 11-2, 11-5 dalam 27 minit untuk menjuarai kejohanan yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Terdahulu beregu lelaki negara, Duncan Lee-Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif mengalahkan Tze Wing-Ming Hong 11-6, 11-7 bagi penentuan tempat ketiga.

Satu lagi beregu campuran Malaysia yang turut diharapkan untuk meraih pingat pada Sukan Asia, yang juga naib juara Kejohanan Beregu Campuran Asia, Ivan Yuen-Rachel Arnold menarik diri pada peringkat suku akhir kerana masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 6:46 PM