AKSI Ming Hock ketika menentang Rutvik Rau dalam perlawanan akhir bagi perebutan pingat emas dan perak pada Sukan Sekolah Sekolah Asean ke 10 Malaysia 2018 di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil. -Foto OWEE AH CHUN
AKSI Ming Hock ketika menentang Rutvik Rau dalam perlawanan akhir bagi perebutan pingat emas dan perak pada Sukan Sekolah Sekolah Asean ke 10 Malaysia 2018 di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil. -Foto OWEE AH CHUN
Aida Adilah Mat


KUALA LUMPUR: Pemain skuasy remaja negara Wee Ming Hock mengakui kecewa kerana kesilapan kecil pada set terakhir menjadi punca dia gagal menghadiahkan emas buat negara dalam acara perseorangan lelaki di kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) ke-10 di Bukit Jalil.

Atlet kelahiran Kelantan itu terpaksa akur dengan pemain Singapura, Bairavarasu Rutvik Rau dalam pertarungan lima set sebelum tewas 6-11, 5-11, 11-3, 12-10, 12-14. 

Bagaimanapun pujian perlu diberikan kepada pemain berusia 17 tahun itu pada penampilan pertamanya di ASG apabila memaksa lawan mengerah keringat sehingga ke set penamat sebelum kesilapan kecil yang dilakukan menyebabkan dia terpaksa berputih mata. 

"Saya membawa harapan negara selepas pemain pilihan kita Adam Agan Aziz tewas di separuh akhir, juga kepada Bairavarasu. 

"Saya cuba berhabis-habisan tapi sangat kecewa apabila kalah 2-3. Kesilapan saya adalah pada mata terakhir ketika kedudukan 12-13 apabila saya memukul bola keluar. 

"Tapi tidak mengapa, saya belajar sesuatu hari ini dan harap kesilapan seperti itu tidak berulang apabila turun dalam acara berpasukan nanti," katanya. 

Bakal mewakili Kelantan di Sukan Malaysia (SUKMA) Ming Hock akan berlepas ke Hong Kong hujung bulan ini untuk menyertai Kejohanan Skuasy Remaja di sana. 

Dia mengharapkan dapat belajar sesuatu kerana cabaran di SUKMA nanti lebih sengit berbanding ASG dengan kehadiran juara remaja dunia Ng Eain Yow. 

Kegagalan Ming Hock bagaimanapun ditebus dalam acara perseorangan wanita yang menemukan dua pemain negara di pentas akhir. 

Noor Aina Amani menewaskan Yee Xin Ying 6-11, 11-9, 11-9, 12-10 untuk emas dan perak. 

Sebelum ini skuad skuasy negara merangkul tiga emas menerusi acara beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran. 

  

tamat 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 4:04 PM