ATLET Itali, Marcell Jacobs meraikan kejayaan memenangi pingat emas acara 100 meter Kejohanan Eropah di Stadium Olimpik Munich, hari ini. FOTO AP
ATLET Itali, Marcell Jacobs meraikan kejayaan memenangi pingat emas acara 100 meter Kejohanan Eropah di Stadium Olimpik Munich, hari ini. FOTO AP
Reuters

Munich: Juara Olimpik Tokyo 2020 dari Itali, Marcell Jacobs menamatkan musim bermasalah dengan cemerlang apabila memenangi gelaran 100 meter Eropah, hari ini, manakala pelari pilihan tuan rumah, Gina Lueckenkemper menang bagi acara wanita.

Jacobs menarik diri daripada Kejohanan Olahraga Dunia, bulan lalu sebelum separuh akhir kerana kecederaan paha yang menghantuinya sepanjang musim, namun menyerlah di final 100m hari ini dengan catatan 9.95 saat.

Juara bertahan, Zharnel Hughes di tempat kedua dengan 9.99s di depan rakan senegaranya dari Britain, Jeremiah Azu (10.13s).

"Ini adalah musim yang sukar dengan pelbagai masalah, kecederaan dan kaki saya tidak bagus," kata Jacobs.

"Saya tidak gembira dengan cara perlumbaan ini secara teknikal kerana ada sedikit masalah, tapi saya amat gembira dengan pingat emas ini.

"Selepas emas Olimpik Tokyo 2020, kini saya dapat emas Kejohanan Eropah. Saya akan cuba dapatkan emas Kejohanan Dunia pula. Kami akan cuba dalam acara berganti-ganti kerana kuartet Itali mahu cemerlang dalam acara itu."

Dalam acara wanita, pelari Switzerland Mujinga Kambundji tampak akan memenanginya sehingga Lueckenkemper dan pelari Britain, Daryll Nieta mengejarnya di penghujung perlumbaan.

Pelari Jerman itu yang memenangi perak, empat tahun lalu dan Kambundji masing-masing mencatatkan 10.99s, tetapi Lueckenkemper hanya sedikit di depan.

Daryll sekali lagi bermula perlahan dan gagal menyaingi masa separuh akhir, memenangi gangsa dengan catatan 11s, tetapi menyatakan mengalami masalah kejang otot sebelum perlumbaan dan bercadang mahu menarik diri.

Pelari Britain yang juga juara bertahan, Dina Asher-Smith menarik diri kerana mengalami kekejangan di separuh perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 7:58 AM