ATLET Uganda, Victor Kiplangat melutut selepas menang emas maraton lelaki walaupun tersalah jalan di Birmingham 2022. FOTO REUTERS
ATLET Uganda, Victor Kiplangat melutut selepas menang emas maraton lelaki walaupun tersalah jalan di Birmingham 2022. FOTO REUTERS
Reuters

Birmingham: Atlet Uganda, Victor Kiplangat tetap meraih pingat emas acara maraton lelaki di Sukan Komanwel Birmingham 2022, semalam, walaupun tersalah mengambil selekoh.

Selepas berlari 40 kilometer di laluan berliku di jalanan Birmingham, Kiplangat tersalah laluan, tetapi berikutan sudah menjarakkan diri lebih jauh berbanding pelari lain, kesilapan itu tidak menjejaskan kedudukannya.

Pelari berusia 22 tahun itu memenangi perlumbaan dengan masa 2 jam 10 minit dan 55 saat.

Walaupun berlaku kesilapan itu, Kiplangat berkelebihan 1 minit dan 34 saat di depan atlet Tanzania, Alphonce Simbu.

Dia kemudian melutut tanda bersyukur di kawasan penamat sebelum mengambil bendera Uganda dan disambut dengan sorakan penyokong.

Michael Mugo Githae yang datang sebagai pelari simpanan Kenya dan disenaraikan pada saat akhir, memanfaatkan peluang berharga itu untuk menang gangsa di depan pelari Australia, Liam Adams yang mendahului sebahagian besar perlumbaan.

"Orang yang menunggang motosikal mengelirukan saya. Mereka memberitahu saya untuk berpatah balik, tetapi saya masih berjaya sampai ke garisan penamat.

"Saya percaya Uganda bangga dengan saya hari ini. Kami menanti saat ini. Saya gembira dapat menang. Terima kasih kepada yang menyokong saya.

"Kaki saya begitu letih tetapi penonton memberikan sorakan dan keberanian kepada saya," kata Kiplangat.

Dalam acara wanita, atlet Australia, Jessica Stenson memenangi emas dengan catatan 2 jam 27 minit dan 31 saat manakala pelari Kenya, Margaret Wangari Muriuki di tempat kedua dan pemenang emas Gold Coast 2018, Helalia Johannes meraih gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 2:14 PM