JACOBS meraikan kejayaan bersama peminat. -FOTO AFP
JACOBS meraikan kejayaan bersama peminat. -FOTO AFP
AFP

Rom: Marcell Jacobs menjuarai perlumbaan 100 meter pertamanya di Eropah tahun ini dalam usaha mempertahankan kejuaraan di Olimpik di Paris.

Pelari dari Itali itu yang mengejutkan dunia olahraga tiga tahun lalu apabila meraih dua emas di Olimpik Tokyo yang ditangguhkan akibat Covid, mencatat masa 10.07s untuk memenangi perlumbaan di 'Festival Pecut' di Rom.

Atlet berusia 29 tahun itu menamatkan perlumbaan 0.04 saat di hadapan Chituru Ali dalam perlumbaan menentang lima rakan senegaranya itu bagaimanapun bermula sedikit perlahan sebelum akhirnya melonjak untuk menang.

"Perlumbaan itu OK, saya melakukan kesilapan pada permulaan membuatkan saya lebih perlahan daripada yang saya tahu," kata Jacobs.

"Sekiranya saya berjaya memulakan permulaan seperti yang saya lakukan semasa memanaskan badan, ia akan menjadi perlumbaan yang berbeza kerana permulaan adalah asas di mana anda boleh mencapai kelajuan tertinggi anda.

"Saya terlepas itu, tetapi saya gembira di bahagian kedua perlumbaan."

Kemenangan itu adalah permulaan pertandingan buat Jacobs, yang mengatakan beliau mengalami demam selepas pulang ke Itali dari tempat tinggal barunya di Florida.

Jacobs seterusnya dijangka akan bertanding di Ostrava pada 28 Mei dan acara Liga Berlian di Oslo dua hari kemudian, sebelum mempertahankan gelar 100m Eropahnya di Rom bulan depan dan kemudian mahkota Olimpiknya dalam 100m dan 4x100m di Paris.

Jacobs, juga bekas juara dunia 60m dalam dewan sebelum ini bergelut dengan beberapa siri masalah otot dan gagal di kejohanan dunia tahun lalu di Budapest di mana dia tersingkir di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 11:04 AM