Loh Ying Ying, Tammy Tan Hui Ling dan Tan Cheong Min meraih emas untuk negara. FOTO AUG
Loh Ying Ying, Tammy Tan Hui Ling dan Tan Cheong Min meraih emas untuk negara. FOTO AUG
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Pasukan wushu Malaysia membuktikan mereka sukar digugat pada Sukan Universiti Asean (AUG) edisi 2022 apabila dinobatkan juara keseluruhan dengan membawa pulang lima emas pada hari terakhir temasya terbabit berlangsung.

Walaupun bermula agak perlahan pada hari pertama acara terbabit dipertandingkan namun wakil Malaysia mempamerkan kebangkitan untuk memastikan hari yang indah untuk kontinjen negara majlis penutupan hari ini.

Pada hari terakhir acara terbabit berlangsung di dewan Menara Sunee menyaksikan Malaysia menambah dua lagi koleksi emas, satu perak dan dua gangsa.

Emas disumbangkan Ang Qi Yue dan Chuah Shangyang menerusi acara Duilian Berpasangan Lelaki selepas mereka mengutip 9.61 mata.

Pasangan Indonesia diwakili Horatius Harris Marvelo dan Edgar Xavier Siregar Serafnaro pula memperoleh perak selepas mengakhiri saingan dengan 9.51 mata manakala wakil Thailand Saeli Jo serta Yanrungrawin Pitaya sekadar gangsa (9.2 mata).

Selain itu, acara Duilian Berpasangan Wanita diwakili Loh Ying Ying, Tammy Tan Hui Ling dan Tan Cheong Min turut berjaya mengenggam emas buat negara selepas mengutip 9.23 mata.

Mereka berjaya mengalahkan wakil Indonesia, Eugenia Widodo, Diva Puspa dan Dewi Tasya Ayu yang sekadar memenangi perak dengan kutipan 9.16 mata.

Pingat gangsa pula milik satu lagi pasukan negara iaitu Lee Jia Tong, Sydney Chin Sy Xuan dan Mandy Cebelle Chen (9.12 mata).

Sementara itu, Pengurus Pasukan Wushu Negara Sharel Rizel Dzhari berkata, kejayaan membawa pulang lima emas manakala masing-masing tujuh perak dan gangsa adalah antara pencapaian terbaik atlet Malaysia dalam sukan berkenaan.

"Kejayaan itu secara tidak langsung menyaksikan Malaysia dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas empat hari acara wushu berlangsung.

"Rata-rata atlet kali pertama beraksi di pentas AUG namun mereka mempunyai semangat cukup membara untuk membawa pulang pingat buat negara.

"Pada awalnya, kita melihat mungkin mendapat tentangan sengit daripada wakil tuan rumah dan Indonesia namun atlet negara berjaya mengekalkan momentum seterusnya kurang melakukan kesilapan untuk memperoleh mata tertinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 5:32 PM