HARITZ Iklil (tengah) memenangi dua pingat emas buat Selangor menerusi acara 10m air rifle individu lelaki dan 10m air rifle berpasukan lelaki. FOTO FB MAJLIS SUKAN NEGERI SELANGOR
HARITZ Iklil (tengah) memenangi dua pingat emas buat Selangor menerusi acara 10m air rifle individu lelaki dan 10m air rifle berpasukan lelaki. FOTO FB MAJLIS SUKAN NEGERI SELANGOR
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Selangor berada dalam kelas tersendiri apabila membidik dua emas bagi acara 10 meter (m) air rifle berpasukan lelaki dan 10m air rifle individu lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Lapang Sasar Nasional Subang, hari ini.

Lebih manis, Selangor turut memecahkan rekod kebangsaan acara 10m air rifle berpasukan lelaki menerusi gandingan Haritz Iklil Hessly Hafiz, Muhammad Syukri Zulkifli dan Muhammad Hafiz Zulkifli yang mengumpul kutipan mata keseluruhan 1,845.9.

Catatan itu memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang trio Perak, Loo Jie Ren, Ahmad Khusayiri Abd Razak and Mohd Azman Syafiq Zainal 1,830.1 mata yang dilakukan pada 2018.

Pingat perak pula milik pasukan Perak menerusi 1,809.8 mata manakala wakil dari Negeri Sembilan memperoleh gangsa (1,807.3 mata).

Haritz Iklil sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila menyumbang emas untuk Selangor dalam acara 10m individu lelaki dengan 242.5 mata.

Wakil Selangor itu mengalahkan pesaingnya dari Sarawak, Mohd Haziq Fadhil Khalid Fauzan yang mengumpul 237.6 mata manakala atlet Kuala Lumpur, Muhammad Ikhmal Syafiq Mat Zuki membawa pulang gangsa (218.4 mata).

"Secara jujurnya, saya hanya berharap untuk memperbaiki catatan peribadi terbaik yang dilakukan dua minggu lalu dalam kejohanan tempatan.

"Bagaimanapun, lima tembakan pertama saya di final tidak berapa baik. Saya ingatkan diri sendiri untuk kembali mendapatkan rentak.

"Saya bersyukur kerana dapat kembali menemui rentak dan memenangi emas. Memecahkan rekod kebangsaan dalam acara berpasukan adalah sesuatu yang tidak dijangka. Ia boleh dianggap bonus buat kami," kata Haritz Iklil yang juga penembak kebangsaan.

Sementara itu, kontinjen Pahang dibarisi Azrul Akmal Zulkefli, Muhammad Adib Abu Hassan Ashairi, Putera Muhammad Akram Zunaidi memenangi acara 25m pistol berpasukan lelaki selepas mengutip 1,603 mata.

Wakil Terengganu memenangi perak (1,570 mata) manakala gandingan Negeri Sembilan di tempat ketiga dengan pungutan 1,562 mata.

Selain itu, acara 25 mpistol individu lelaki menyaksikan emas menjadi milik wakil Negeri Sembilan, Umar Fareed Faroukh apabila berjaya mengutip 550 mata.

Perak dan gangsa pula dimenangi atlet Pahang iaitu Azrul Akmal dan Putera Muhammad Akram selepas mereka mengutip 541 dan 537 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 6:00 PM