DANESHEN (kiri) dan Nur Jannaton bersama pingat emas masing-masing. FOTO Bernama
DANESHEN (kiri) dan Nur Jannaton bersama pingat emas masing-masing. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemanah para negara, G Daneshen sukar digugat pesaing lain apabila menuai emas pertama temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dalam acara compound individu lelaki 50 meter (50m), hari ini.

Acara berlangsung di Padang Turf Majlis Sukan Negara (MSN) itu menyaksikan Daneshen yang mewakili Kedah tidak berhadapan masalah untuk mengesahkan kemenangan menerusi 695 mata menewaskan rakan sepasukan Azrul Abd Rashid di tempat kedua (657 mata).

Atlet Sabah, Ramdi Rahimin terpaksa akur membawa pulang gangsa apabila memungut 652 mata.

Sementara itu, kategori wanita pula menyaksikan wakil Perak, Nur Jannaton Abdul Jalil mendominasi acara compound individu 50m dengan membawa pulang emas menerusi 638 mata.

Pingat perak menjadi milik atlet dari Pulau Pinang, Nazirah Md Noor selepas mengumpul 590 mata manakala rakan sepasukannya Nor Saadah Abdul Wahab memenangi gangsa (571 mata).

Selain itu, acara boling yang berlangsung di Sunway Megalane menyaksikan Nur Amalina Mohd Mosadad dari Sarawak menggenggam emas dalam acara individu wanita TPB10 selepas melakukan 736 jatuhan pin.

Wakil Perak, Nur Hidayah Mohd Nor berada di tempat kedua menerusi 613 jatuhan pin manakala atlet Wilayah Persekutuan Siti Sarah Tajul Ariffin memenangi gangsa dengan 417 jatuhan pin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 7:29 PM