AKSI Cheong Min. FOTO AUG
AKSI Cheong Min. FOTO AUG
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Skuad wushu negara menepati ramalan pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 apabila berjaya memperoleh satu lagi pingat emas buat kontinjen Malaysia.

Pada aksi yang berlangsung di dewan Menara Sunee, emas yang diraih kem wushu itu hadir menerusi Tan Cheong Min yang mengungguli acara Nanquan individu wanita selepas mengutip 9.55 mata.

Pungutan mata itu sekali gus berjaya mengatasi pencabar terdekat dari Myanmar Aye Thitsar Myint yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan 9.52 mata.

Tempat ketiga dimenangi atlet Singapura Josephine Lee Sze Min yang menamatkan saingan dengan kutipan 9.21 mata.

"Saya gembira kerana dapat meraih pingat emas di temasya ini selepas dua tahun tiada kejohanan akibat penularan Covid-19. Sebab sebelum ini saya juga tak bertanding di Sukan Sea Vietnam sebab tiada acara saya.

"Untuk persembahan saya pada hari ini, sebenarnya agak berpuas hati dan ia juga mencapai jangkaan yang diletakkan. Walaupun ada sedikit nervous tapi berjaya mengatasinya dengan baik," kata Cheong Min.

Sementara itu, hasrat kem wushu untuk menambah emas tidak kesampaian selepas kedua-dua atlet negara iaitu Lee Jia Rong dan Tan Cheong Wan terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas tewas dalam acara masing-masing.

Cheong wan yang sebelum ini berjaya mendapat pingat emas dalam acara Gunshu lelaki terpaksa akur tumpas kepada atlet Indonesia, Marvelo Edgar Xavier yang berjaya meraih 9.73 berbanding dia yang mendapat 9.63 mata.

Gangsa acara itu turut dimenangi atlet Indonesia, Siregar Seraf Naro yang memungut 9.6 mata.

Bagi Jia Rong pula, dia terpaksa akur berada di kedudukan kedua selepas meraih 9.54 mata berbanding atlet Singapura, Le Yin Shuen yang mendapat 9.59 mata, manakala gangsa dimemangi atlet Malaysia, Tammy Tan Hui Ling (9.46 mata).

Ketika ini, kem wushu negara sudah membawa pulang tiga emas sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 9:22 PM