Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin Nasution Ismail.
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Polis sedang menyiasat kemungkinan beberapa insiden ke atas institusi negara termasuk serangan di balai polis dan ugutan terhadap Ahli Parlimen adalah tindakan rambang atau rancangan terkoordinasi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tidak dinafikan beberapa insiden itu termasuk cubaan menceroboh Istana Negara dan serangan terhadap anggota polis di Pulau Pinang berlaku dalam tempoh yang dekat.

"Polis sedang memantau situasi ini dengan rapi. Polis juga sudah memulakan siasatan segera bagi setiap kes dan berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang insiden lanjut dan ini komitmen polis kerana ketenteraman serta keselamatan awam itu tidak boleh dikompromi.

"Jadi adalah penting dalam siasatan polis untuk menentukan serangan-serangan ini adalah tindakan rambang atau sebahagian daripada perancangan terkoordinasi sama ada dilakukan oleh individu atau kumpulan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada wujud corak terancang membabitkan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, cubaan ceroboh Istana Negara, ugutan terhadap Ahli Parlimen Seputeh dan serangan ke atas anggota polis di Balai Polis Datuk Keramat, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Dalam kejadian Jumaat lalu, dua anggota polis terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam serangan dilakukan seorang lelaki yang menceroboh Balai Polis Ulu Tiram.

Pada hari yang sama, polis menahan dua lelaki membawa sebilah parang cuba menceroboh Istana Negara.

Keesokannya Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menerima ugutan bunuh menerusi surat yang dihantar ke rumahnya bersama dua peluru hidup.

Manakala dalam kejadian di Pulau Pinang kelmarin, seorang lelaki ditahan ketika cuba merampas submesingan HK MP5 daripada anggota polis yang bertugas di pintu pagar Balai Polis Dato Keramat.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri dan polis sedar insiden yang berlaku itu menyasarkan institusi penting negara.

"Itu kita pandang serius, kita segera siasat, siasatan kita akan menjurus kepada menentukan plot, tujuan, motif, kumpulan, individu, ini kes yang dibuat keputusan sendiri atau ia satu yang terancang, jadi biar kita 'establish' (menentukan) perkara itu dahulu.

"Sebab itu saya sebut di Johor, itu (tindakan) 'lone wolf', selepas kita soal siasat dan ambil keterangan mereka yang terbabit.

"Malah bagi setiap kes itu ada elemen mabuk seperti di Pulau Pinang, ada kes kita syak masalah mental, tetapi semua itu terlalu awal (untuk ditentukan), biar polis siasat semua itu," katanya.

Menurutnya, beliau juga sudah diminta untuk memberi taklimat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung beberapa insiden berkenaan.

"Saya minta orang awam meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada polis bahawa dengan pengalaman dan usia (polis) 217 tahun, mereka sudah melalui cabaran dan ancaman sepanjang zaman.

"Berikan ruang kepada polis dengan pengalaman mereka.

"Mereka sedang mengendalikan siasatan ini dengan profesional dan dedikasi yang diperlukan," katanya.

Beliau juga mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 1:22 PM