SHANYANG meraikan kejayaannya meraih emas di pentas podium. FOTO Hazreen Mohamad
SHANYANG meraikan kejayaannya meraih emas di pentas podium. FOTO Hazreen Mohamad
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Peluang untuk berehat seketika menjadi perkara utama buat atlet wushu dari Pulau Pinang, Chuah Shangyang selepas merangkul dua pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Atlet berusia 22 tahun itu berjaya memenangi pingat emas dalam acara nandao lelaki hari ini selepas cemerlang mengungguli acara nangun, semalam.

Bekas juara dunia wushu bagi acara xingyiquan 2019 itu mengutip 9.643 mata untuk mengatasi atlet Sarawak, Danny Ling Hang Kee (9.616 mata) dan atlet Melaka, Chan Shi Weng (9.593).

Shangyang berkata, dia kini mahu menghabiskan masa seketika bersama keluarga sebagai membalas keringat dan pengorbanan yang sudah diberikan ahli keluarganya yang sentiasa menyokong perjalanan kariernya.

"Saya tujukan kemenangan ini untuk ahli keluarga saya. Mereka kadang-kadang perlu menunggu sehingga saya selesai (berlatih), ada sehingga memakan sama tiga atau empat jam.

"Saya di Kuala Lumpur dan mereka di Pulau Pinang. Selepas ini, saya mahu berehat dan luangkan masa dengan keluarga kerana kami tinggal berjauhan," katanya.

Mengulas aksi final, Shangyang mengakui tiada tekanan dirasakan dengan dia hanya meneruskan seperti apa yang dilakukan pada sesi latihan.

"Semuanya berjalan lancar seperti yang dilakukan pada sesi latihan," katanya.

Sementara itu, bagi acara taijijian lelaki, wakil Melaka, Tan Zhi Yan sekali lagi muncul juara dengan pungutan mata 9.646 mata.

Pingat perak dan gangsa, masing-masing dimenangi atlet Wilayah Persekutuan, Kerk Qing (9.576 mata) dan atlet Sarawak, Edison Wong Sing Yen (9.513 mata).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 2:42 PM