THOMAS puas bersama trofi Klasik Honda yang dimenangi. FOTO/AFP
THOMAS puas bersama trofi Klasik Honda yang dimenangi. FOTO/AFP
Reuters

FLORIDA: Justin Thomas membaiki senarai kedudukan ranking dunia selepas menjuarai Kejohanan Honda Klasik menerusi playoff mengatasi Luke List di, sini, semalam.

Thomas mencatat birdie pada lubang pertama tambahan di lapangan PGA National selepas kerap bergelut dengan cuaca semakin gelap di lapangan Palm Beach Gardens itu.

Terdahulu, Thomas (68) dan rakan senegaranya, List (69) menamatkan saingan 8 bawah par dengan terikat 272 mata, satu mata di depan pemain Sweden, Alex Noren manakala Tiger Woods (70) ketinggalan lapan pukulan di tangga ke-12.

Thomas, 24, gembira dengan kesabaran dirinya dan layanan penganjur yang membolehkannya muncul juara sekali gus mengumpul lapan gelaran Jelajah PGA dan trofi kejuaraan kedua untuknya musim ini.

“Ia adalah tahap kesukaran yang berbeza, bukan setakat senarai pemain yang perlu saya hadapi, tetapi gelanggang ini sendiri,” katanya yang bertarung melawan angin kencang.

“Saya hanya perlu bersabar. Saya perlu tenang sepanjang hari. Saya tahu cabaran yang menanti pada sembilan lubang terakhir. Saya rasa gembira dapat menjuarai cabaran ini.”

Thomas, yang menjuarai gelaran sulung di Kejohanan PGA Ogos lalu, tampak menjadi pemain pilihan untuk cabaran Masters Amerika Syarikat yang bakal berlangsung di Augusta National pada April.

Dengan kejayaan semalam, dia kini menghuni tangga ketiga ranking dunia berbanding di tangga keempat sebelumnya iaitu perubahan tempat dengan Jordan Spieth. Dustin Johnson dan Jon Rahm kekal pemain di ranking pertama dan kedua dunia.

Thomas mengharungi playoff dengan cemerlang selepas pukulan teruk pada lubang ke-72 yang membolehkannya memintas catatan List yang menyaksikan Noren terlepas birdie pada lubang terakhir itu.

List belum memenangi gelaran Jelajah PGA tetapi berasa ia sangat hampir dan membangkitkan semangat juangnya.

“Keputusan yang ini sedikit mengecewakan, tetapi ia menyedarkan saya mengenai apa yang sudah saya lakukan di sini.

“Saya bangga dengan cara saya bangkit semula...saya percaya saya akan kembali ke posisi terbaik semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 11:06 AM