NUR Aiman  bersama pingat gangsa diraihnya. FOTO Bernama
NUR Aiman bersama pingat gangsa diraihnya. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Malaysia memperoleh pingat gangsa bagi acara berbasikal lebuh raya menerusi Nur Aiman Rosli dalam ujian masa individu lelaki di Sukan Sea Vietnam, hari ini.

Aiman menamatkan perlumbaan sejauh 39.56 kilometer di trek Bandar Hoa Binh itu dalam masa 48 minit dan 58 saat untuk menduduki tempat ketiga dalam acara itu.

Peerapol Chawchiangkwang dari Thailand meraih emas dengan catatan 48 minit 32 saat manakala Aiman Cahyadi dari Indonesia di tempat kedua dengan catatan masa 48 minit 37 saat.

Seorang lagi peserta negara, Shaiful Adlan Shukri menduduki tempat kesembilan dengan catatan masa 51 minit 31 saat.

Pengurus pasukan negara, Firdaus Arshad percaya persembahan kedua-dua pelumba negara memberi petanda baik untuk masa depan Malaysia dalam acara itu.

"Untuk meraih gangsa dalam acara ini satu bonus buat kami kerana sasaran pingat utama kami lebih kepada acara kriterum dan jalan raya. Aiman hanya tinggal kira-kira 30 saat daripada masa pingat emas manakala Shaiful juga berjaya menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik.

"Ini petanda yang bagus kerana kedua-duanya baru berusia 23 tahun dan perlumbaan ini akan menjadi pengalaman yang baik untuk mereka menjelang Sukan Sea Kemboja tahun depan," kata Firdaus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 5:51 PM