RIDZUAN Puzi gagal pertahankan emas. FOTO MSN
RIDZUAN Puzi gagal pertahankan emas. FOTO MSN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Harapan atlet olahraga para negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi untuk menghadiahkan pingat emas kedua untuk negara musnah apabila dia sekadar meraih tempat keempat pada final acara 100m T36 di temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, sebentar tadi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Mohamad Ridzuan atau dikenali sebagai Dek Wan gagal untuk mengekalkan pingat emas yang dimenanginya pada temasya sama di Rio 2016.

Acara yang berlangsung di Stadium Olimpik itu menyaksikan Dek Wan di tempat keempat menerusi catatan masa 12.15 saat.

Dek Wan dilihat mendahului perlumbaan pada 50 meter pertama namun gagal mengekalkan momentum larian sebelum dipintas peserta lain.

Peserta dari China, Deng Pei Cheng berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama menerusi catatan masa 11.85 saat manakala James Turner memenangi perak dengan merekodkan 12 saat.

Pingat gangsa pula milik peserta dari Argentina Alexis Sebastian Chavez dengan catatan masa 12.02 saat.

Pada temasya di Rio Mohamad Ridzuan mencipta sejarah apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik, menerusi acara 100m selepas mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadam rekod Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25s, di Beijing 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 10:38 AM